Friday, 14 November 2014

KELEBIHAN BERSUJUD KEPADA ALLAH DARI ASPEK KESIHATAN



1.     Di dalam Al Quran kita akan menemui perkataan sujud disebut sebanyak 34 kali. Arahan sujud itu ditujukan samada kepada malaikat, manusia ataupun seluruh makhluk lain termasuk pokok-pokok dan tumbuhan. Sebahagian besar arahan itu kepada para malaikat.  Bilangan 34 ini sama dengan bilangan sujud dalam solat lima waktu sehari semalam dalam 17 rakaat. Dalam solat kita akan sujud dua kali setiap rakaat. 

2.      Perintah pertama Allah untuk sujud ini terdapat dalam Surah AlBaqarah [Lembu Betina](2:34) yang berbunyi:








Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.”

Ayat ini merupakan ayat ketiga puluh empat dalam Surah Al-Baqarah, iaitu surah  pertama yang menyebutkan perkataan sujud.

3.      Perintah Allah kepada manusia supaya bersujud kepadaNya boleh didapati pada firman-firman berikut:

3.1.   Surah Al Hajj [Haji](22:77) yang berbunyi:

 

“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

3.2.   Surah Al- Najm [ Bintang] (53 :62) yang berbunyi:


“Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid).”

4.      Selain dari malaikat dan manusia yang perlu bersujud kepada Allah, makhluk lain ciptaan Allah juga bersujud kepadaNya.  Lihatlah firman-firman Allah di bawah:

          4.1.   Surah Ar-Rad [Guruh](13:15) yang berbunyi:


“Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.”

4.2.   Surah Al-Nahl [Lebah](16:49) yang berbunyi:


“Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya).”

4.3.   Surah Ar Rahman [Maha Pemurah](55:6) yang berbunyi:


 “Dan bintang-bintang serta tumbuh-tumbuhan yang melata semuanya bersujud kepadaNya.”

5.      Untuk kita sebagai manusia apakah hikmah disebalik perintah Allah supaya bersujud kepadaNya. Kita maklumi bahawa tidak ada satu pun perintah dari Allah yang sia-sia dan tidak memberi guna kepada manusia.  Dalam firman-firman di atas memang tidak dijelaskan faedahnya. Namun kajian secara saintifik menunjukkan dengan jelas sekali faedah sujud kepada manusia.  

6.      Seorang pakar neurology dari Hospital Universiti Baghdad, Dr. Ahmad Al-Jabouri berkata kajian yang dibuatnya mendapati beberapa saluran darah di bahagian dalam otak manusia tidak mendapat bekalan darah mencukupi sedangkan fungsi saluran darah itu ialah untuk membekalkan darah yang cukup kepada otak supaya otak berfungsi dengan sempurna.  Perkara ini terjadi kerana apabila kita duduk atau berdiri, jantung yang berfungsi mengepam darah ke otak berada dalam kedudukan lebih rendah dari otak manusia.  Kesannya ialah saluran darah bersaiz kecil yang dinamakan kapilari darah tidak dimasuki darah secukupnya.

7.      Bekalan darah mencukupi ke otak ialah apabila posisi otak berada lebih rendah dari jantung manusia, iaitulah ketika manusia sujud. Pada posisi inilah semua saluran darah halus dapat dimasuki darah. Ketika sujudlah kadar kepantasan dan ketepatan fungsi otak meningkat dengan mendadak. Aliran darah yang lancar menjadikan otak kita lebih segar dan cergas. Sebab itulah kita biasa mendengar orang kata barang yang terlupa di mana letaknya boleh diingati dalam solat. Sekarang ini kita sudah biasa mendengar kenyataan bahawa pelajar yang rajin sembahyang lebih cerdik dari pelajar yang malas sembahyang.

8.      Bagi orang yang tidak sembahyang seperti orang bukan Islam, walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi otak mereka tidak berupaya untuk membezakan mana yang baik dan buruk.  Berdasarkan maklumat dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit di negara maju seperti China kadar bunuh diri di sana ialah 22.23 orang bagi setiap 100,000 orang.  Begitu juga di Amerika Syarikat di mana senjata api kerap digunakan untuk membunuh diri.

9.    Cuba kita bertanya kepada penagih dadah ataupun penghuni penjara, adakah mereka orang yang bersolat kepada Allah atau tidak.  Jawapannya pasti tidak pernah. Ini menunjukkan orang yang tidak pernah sujud kepada Allah menjadikan diri mereka tidak mampu membezakan mana yang baik dan buruk.

10.    Subhanallah. Maha suci Allah yang bebas dari segala kesilapan, kekurangan atau kelemahan.  Setiap apa yang diperintah oleh Allah kepada manusia pasti ia akan mendatangkan kebaikan.  Tanyalah diri kita masing-masing, apakah kita mahu menjadi orang yang lebih baik dengan bersolat dan sujud kepadaNya atau kekal tidak bersolat yang menjadikan seseorang itu tidak mendapat faedah dari sujud serta berdosa pula kepada Allah.  Jika kita mengaku beragama Islam tetapi enggan sujud kepada Allah, ketahuilah bahawa sesungguhnya kita telah menjadi manusia yang lebih hina dari binatang, pokok-pokok, bulan dan bintang yang tidak berakal tetapi mereka sujud dan patuh kepada perintah Allah SWT.

“Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki. Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan. Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya. Siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya. Siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara’. Sedang orang yang tidak wara’ itu berarti hatinya telah mati.” ~ Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah

No comments:

Post a Comment