Saturday, 8 November 2014

MENGENALI SIFAT-SIFAT FIZIKAL DAN PERIBADI RASULULLAH : TIDAK KENAL MAKA TIDAK CINTA

 
GIGI DAN RAMBUT RASULULLAH
SERBAN-SERBAN RASULULLAH
1.      Benarlah apa yang dikatakan oleh orang tua-tua kita. Tidak kenal maka tidak cinta. Adakah kita akan ada rasa cinta kepada seseorang jika kita tidak pernah mengenalinya?.  Jawapannya tidak mungkin.  Apakah seorang sepasang teruna dan dara boleh saling cinta mencintai satu sama lain jika mereka tidak pernah mengenali,   tidak pernah berjumpa dan melihat wajah masing-masing.  Jawapannya juga tidak mungkin. Pokok pangkalnya rasa cinta, kasih dan sayang ini akan wujud dalam diri seseorang jika kita pernah melihat seseorang. Jika tidak pernah melihat pun, paling tidak kita kenal seseorang melalui gambaran atau cerita dari orang lain. 

2.      Adakah kita ada rasa kasih, sayang dan cinta kepada Rasulullah.  Islam mengajar kita supaya kita kasih, sayang dan cinta kepada Rasulullah lebih dari kita cinta, kasih dan sayang kepada diri kita sendiri, isteri serta anak-anak kita.  Bagaimana kita boleh ada rasa cinta kepada Rasulullah jika kita tidak pernah mengenalinya.  Untuk melihat wajah Rasulullah tidak mungkin sama sekali (melainkan bertemunya dalam mimpi bagi orang-orang yang dipilih oleh Allah).  

3.      Artikel kali ini membawa pembaca mengenali Rasulullah dari segi bentuk dan rupa parasnya serta perlakuannya. Sifat-sifat yang ada pada Rasulullah ini juga salah satu dari sunnahnya. Mudah-mudahan dengan mengenalinya maka rasa cinta, kasih dan sayang kepada Rasulullah  akan menjelma dalam hidup kita. Sama-sama kita saksikan sifat-sifat Rasulullah seperti yang diceritakan oleh para sahabat baginda:

          3.1.   Saidina Ali bin Abi Talib, khalifah Arrashidin keempat yang juga menantu Rasulullah pernah bercerita tentang sifat Rasulullah.  Katanya: "Rasulullah tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah.  Baginda bertubuh sederhana dalam kalangan kaum Quraish.  Rambutnya ikan beralun dan bewarna hitam pekat. Badannya tidak gemuk.  Bentuk wajahnya tidak bulat, tetapi bujur telur. Kulitnya putih kemerah-merahan.  Matanya hitam pekat dan bulu matanya lentik.  Tulang sendinya gagah, bahunya bidang.  Badannya bersih daripada bulu dan rambut, tetapi mempunyai bulu yang memanjang dari dada sampai pusat.  Telapak tangan dan kakinya agak tebal. 

       Apabila Rasulullah berjalan, pergerakannya kelihatan tegap (kakinya diangkat dengan kekuatan), seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi.  Apabila Baginda berpaling, kedua-dua bahunya berpaling serentak yang bermaksud seluruh badannya turut berpaling.  Di antara kedua-dua bahunya, terdapat khatamun-nubuwwah, iaitu tanda kenabian nabi.  Rasulullah merupakan seorang manusia yang hatinya paling pemurah.  Baginda adalah orang yang kata-katanya paling jujur. Beliau mempunyai perangai yang paling lembut dan paling ramah dalam pergaulan.  Sesiapa yang melihatnya buat kali pertama, pasti akan menaruh rasa hormat dan malu kepadanya.  Sesiapa yang berkenalan dengan baginda tentu nanti akan mencintainya.  Orang yang menceritakan sifat Rasulullah, tentunya akan berkata; ”Belum pernah aku melihat seseorang yang setanding dengannya, samada sebelum kelahirannya ataupun sesudah Baginda meninggal dunia.”

          3.2.     Al-Bara’ bin `Azib pula berkata:  “Aku tidak pernah melihat orang yang memiliki rambut yang menyentuh sehingga bawah telinga (antara cuping telinga dan bahu), dengan memakai pakaian yang berwarna merah, yang lebih tampan daripada Rasulullah.  Baginda memiliki rambut yang mencecah kedua-dua bahunya.  Kedua-dua belah bahu Baginda bidang.  Baginda bukanlah seorang yang rendah dan bukan juga tinggi. Rasulullah merupakan seorang lelaki yang bertubuh sederhana (tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah), jarak antara kedua-dua bahunya lebar (bahunya bidang).  Rambut yang lebat terurai ke bahu sampai ke telinganya.  Apabila Baginda memakai pakaian berwarna merah, aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih tampan daripadanya.”

          3.3.   Kata Jabir bin Samurah: “Aku melihat Rasulullah pada suatu malam yang diterangi bulan purnama. Pada waktu itu, Baginda memakai pakaian berwarna merah. Aku memandang Baginda dan bulan silih berganti. Bagiku, Baginda lebih indah daripada bulan purnama”

          3.4.   Hasan bin Ali pula berkata: “Aku pernah bertanya mengenai sifat Rasulullah kepada pakcikku yang bernama Hind bin Abu Halah (yang memiliki nama samaran Abu`Abdullah).  Hind bin Abu Halah adalah orang yang banyak mengetahui sifat Rasulullah.  Aku sangat berharap Hind dapat menceritakan beberapa sifat Rasulullah kerana aku mahu mencontohi Baginda.  Inilah yang dikisahkan oleh Hind: “Rasulullah adalah seorang lelaki yang berwibawa.  Wajahnya cerah berseri bagaikan rembulan yang bersinar pada malam hari.  Baginda lebih tinggi daripada orang yang sederhana dan lebih rendah daripada orang yang tinggi.  Kepalanya besar (padan dengan dadanya yang bidang dan tubuhnya gagah). Rambutnya beralun.  Apabila rambut bahagian depannya terurai, Baginda membuat belahan dua.  Jika tidak membelah dua, hujung rambutnya dibiarkan sampai cuping telinga, namun tidak melepasi had itu.  Rasulullah menjadikan rambutnya sebagai wafroh (rambut tidak lebih telinga).  
  
RAMBUT RASULULLAH
Warna kulitnya putih kemerah-merahan. Dahinya luas.  Keningnya panjang melengkung bagaikan dua busur panah yang terpisah.  Di antara kedua-dua keningnya, ada urat yang kelihatan memerah ketika sedang marah.  Hidung Rasulullah mancung, di hujung hidungnya ada cahaya yang memancar, sehinggakan orang yang melihatnya betul-betul, akan menyangka hidung Baginda lebih mancung (daripada yang sebenarnya). Janggutnya tebal, kedua-dua pipinya mulus, mulutnya lebar.  Giginya agak jarang, namun teratur rapi.  Bulu dadanya halus.  Lehernya indah, tegak dan kuat. Bentuk tubuhnya sederhana, badannya berisi seimbang, perut dan dadanya sama rata.  Dadanya lebar, kedua-dua bahunya bidang dan tulang sendinya besar.  bahagian badannya yang tidak ditumbuhi rambut kelihatan bersih bercahaya. Dari pangkal leher sampai pusat, bulu yang tebal tumbuh seperti garisan.  Kedua-dua puting susu dan perutnya bersih.  Kedua-dua bahu dan dada bahagian atas berbulu halus. Kedua-dua ruas tulang tangannya panjang, telapak kakinya lebar. 
 
SANDAL RASULULLAH


TAPAK KAKI RASULULLAH
Kedua-dua telapak tangan dan kakinya terasa  tebal, jari-jarinya panjang, lekukan telapak kakinya (bahagian tengah) tidak menyentuh tanah.  Kedua-dua kakinya halus sehingga air tidak melekat di kulit kakinya. Apabila Rasulullah berjalan, kakinya diangkat dengan kesungguhan. Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan tenang dan tawadhuk.  Jika Baginda berjalan, pergerakannya cepat seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi.  Apabila dipanggil, Baginda akan memalingkan kedua-dua bahunya serentak. Pandangan matanya terarah ke bawah.  Baginda menundukkan kepala menatap ke arah bumi lebih lama daripada memandang ke langit. Apabila ada sahabat berjalan, Rasulullah akan berjalan di belakangnya.  Apabila bertemu dengan orang lain, Baginda yang akan terlebih dahulu memberi salam.”




       3.5.  Anas bin Malik berkata:“Rasulullah bukanlah orang yang terlalu tinggi, namun bukan juga terlalu pendek, (kulitnya) tidak putih pucat juga tidak sawo matang, (rambutnya ikal) tidak terlalu kerinting dan tidak juga lurus.  Baginda diutus oleh Allah menjadi Rasul pada usia empat puluh tahun.  Baginda diwafatkan oleh Allah dalam usia enam puluh tiga tahun, dalam keadaan tidak sampai 20 helai uban yang terdapat di kepala dan janggutnya ”

4.     Sama-sama kita saksikan firman-firman Allah dalam Al Quran berkaitan dengan utusanNya, Rasulullah  kepada umat manusia dan seluruh alam seperti di bawah:

      4.1. Dalam Surah Al Anbiya [Para Nabi] (21:107):


 “Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

        4.2.  Dalam Surah Al-Ahzab [Tentera Ahzab](33:21):


“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati Allah (dalam masa susah dan senang).”  

        4.3.  Dalam Surah Al Qalam [Kalam](68:4):





"Dan sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang tinggi (mulia).”   

       4.4Dalam Surah An-Najm [Bintang](53:3)





"Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya."

 (53:4)


"Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”

5.     Dengan kita mengenali sifat-sifat peribadi Rasulullah ini mudah-mudahan kita akan menjadi bertambah kasih dan sayang kepadanya.  Ingatlah bahawa di Padang Mahsyar nanti tidak ada seorang pun manusia yang boleh memberikan pertolongan kepada kita melainkan Rasulullah. Hanya Rasulullah seorang sahaja yang Allah kurniakan shafaat  untuk menolong manusia lain di sana nanti. Jangan sombong dengan Rasulullah dan ajarannya. Bagaimana mungkin Rasulullah memberikan pertolongannya kepada kita sedangkan kita tidak pernah mengenali dan mengasihi beliau.  

MANGKUK BEKAS MINUM RASULULLAH


“Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya.” = Saidina Ali Karamallahu Wajhah

No comments:

Post a Comment