1. Dalam posting kali ini dan tiga posting berikutnya kita akan berpeluang untuk mengenali tabien-tabien yang hebat. Di zaman Rasulullah terdapat 4 orang sahabat-sahabatnya yang hebat yang bergelar Khalifah Arrashidin. Di kalangan tabien pula terdapat 4 orang tabien yang hebat seperti dicatatkan dalam kitab-kitab Islam. Mereka ialah Uwais Al Qarni, Said bin Musayyib, Imam Hassan Basri dan Imam Ali Zainal Abidin bin Husain (cicit Rasulullah).
2. Sahabat
bermaksud seseorang yang hidup sezaman
dengan Rasulullah dan melihatnya, beriman kepadanya dan mati dalam
keadaan beriman kepadanya. Tabien pula bermaksud orang yang tidak sempat
berjumpa dengan Rasulullah tetapi mereka hanya sempat bertemu dengan sahabat
Rasulullah, mereka beriman kepada agama yang dibawa Rasulullah dan mati dalam
keadaan beriman kepadanya.
3. Kesah
tabien kali ini ialah Uwais al-Qarni yang berasal dari Yaman. Beliau dikatakan
bermata biru, rambutnya merah, orangnya cukup tampan, kulitnya kemerah-merahan,
dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada tempat sujudnya. Seorang yang
sentiasa membaca Al Qur’an dan menangis kerananya. Pakaiannya hanya dua helai yang sudah lusuh.
Sehelai untuk menutup badan dan yang satu lagi untuk dijadikan selendang.
Tiada orang yang menghiraukannya.
Dia tidak dikenali oleh penduduk bumi akan tetapi sangat terkenal dikalangan
malaikat dilangit. Doanya kepada Allah sangat
makbul. Dia tidak dikenali ramai orang dan beliau juga seorang yang miskin.
Ramai orang suka mentertawakannya, memperolok-olok, dan menuduhnya pencuri
serta berbagai macam umpatan dan penghinaan lainnya.
4. Uwais telah
lama menjadi yatim, tidak punyai saudara mara kecuali hanya ibunya yang telah
tua, lumpuh dan penglihatan matanya kabur. Untuk menyara kehidupannya seharian
dengan ibunya, Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya
hanya cukup untuk sekadar makan seharian. Jika ada sedikit kelebihan, ia
pergunakannya untuk membantu jirannya yang hidup miskin dan serba kekurangan
sepertinya.
5. Kesibukannya
sebagai pengembala kambing dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak
mempengaruhi kegigihan ibadahnya, ia tetap melakukan puasa di siang hari dan
bermunajat di malam harinya. Uwais al-Qarni telah memeluk Islam pada masa
negeri Yaman mendengar seruan Nabi Muhammad SAW. Agama Islam telah berjaya mengetuk
pintu hatinya. Agama Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur.
Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya sangat menarik hati Uwais,
sehingga setelah seruan Islam datang di negeri Yaman, dia segera memeluknya,
karena selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran. Ramai jirannya
yang telah memeluk Islam. Mereka pergi
ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad SAW secara langsung.
Sekembalinya ke Yaman, mereka mengamalkan sepenuhnya cara kehidupan Islam. Hati
Uwais merasa sedih setiap kali melihat jirannya yang baru pulang dari Madinah.
Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah, penghulu para Nabi,
sedang dia sendiri belum berpeluang.
6. Kasih
dan cintanya kepada Rasulullah menyebabkan kerinduan yang kuat untuk bertemu
dengan kekasihnya. Tapi apakan daya kerana kemiskinannya, dia tidak berpeluang
pergi ke Madinah. Lebih malang lagi
keadaan kesihatan ibunya menghalangnya ke sana kerana tidak ada orang yang
boleh menjaga ibunya. Ketika terjadi perang Uhud, Rasulullah SAW mendapat
cedera dan giginya patah kerana dilempar batu oleh musuh-musuhnya. Berita ini telah
sampai kepada pengetahuan Uwais. Dia segera memukul giginya dengan batu hingga
patah. Hal tersebut dilakukannya sebagai bukti kecintaannya kepada Rasulullah
SAW yang sangat hebat, sekalipun dia belum pernah melihatnya.
7. Begitulah
keadaannya hari berganti hari dan bulan berganti bulan. Rindu untuk menemui Rasulullah tidak pernah padam
dari perasaannya. Hasratnya terhalang kerana ibunya yang uzur. Akhirnya, pada
suatu hari Uwais mendekati ibunya, meluahkan isi hatinya dan memohon izin dari
siibu agar diizinkan pergi menziarahi Rasulullah SAW di Madinah. Ibunya merasa sangat terharu ketika mendengar permintaan anaknya. Dia
memahami perasaan Uwais, dan berkata : “Pergilah wahai anakku, temuilah kekasihmu
di Madinah. Bila telah bertemu, segeralah engkau pulang ke Yaman”. Dengan
rasa sangat gembira Uwais berkemas untuk berangkat dan tak lupa menyiapkan
keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada jirannya agar
dapat menemani dan menguruskan ibunya selama dia pergi. Jarak Yaman dan Madinah
lebih kurang empat ratus kilometer. Cabaran dalam perjalanan yang jauh dengan
menaiki kuda menempuh padang pasir yang panas disiang hari dan sejuk diwaktu malam
serta kemugkinan disamun penyamun padang pasir tidak dipedulikannya demi
menemui kekasih hatinya. Dia menumpang rombongan kafilah dagang dari Yaman yang pergi ke Madinah.
8. Akhirnya
tibalah Uwais di kota Madinah. Segera dia
menuju ke rumah Rasulullah. Diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan
salam. Keluarlah Sayyidatina ‘Aisyah r.a., sambil menjawab salam Uwais. Uwais terus
menanyakan Rasulullah yang ingin dijumpainya. Kecewa sekali bagi Uwais kerana
diberitahu oleh 'Aisyah bahawa Rasulullah berada di medan perang. Uwais berada dalam keadaan sangat serba salah
samaada mahu menunggu kepulangan Rasulullah atau pulang sahaja ke Yaman
mengenangkan pesan ibunya supaya jangan terlalu lama di Madinah. Demi ketaatan
kepada ibunya, pesan ibunya itu telah mengalahkan suara hati dan kemahuannya
untuk menunggu dan berjumpa dengan Rasulullah. Dia akhirnya dengan terpaksa
mohon izin dari Sayyidatina ‘Aisyah r.a. untuk segera pulang ke Yaman. Dia
hanya meninggalkan salamnya untuk kekasihnya, Rasulullah dan pulang dengan
perasaan yang kecewa.
9. Pulangnya
dari medan perang, Rasulullah terus bertanyakan isterinya adakah sesiapa yang datang mencarinya. Rasulullah menjelaskan bahawa Uwais adalah anak yang sangat taat
kepada ibunya. Dia adalah penghuni langit dan sangat terkenal di langit.
Mendengar perkataan baginda Rasulullah, Sayyidatina ‘Aisyah r.a. dan para
sahabatnya kehairanan kerana Rasulullah tidak menemui Uwais. Sayyidatina ‘Aisyah
r.a. memberitahu Rasulullah memang benar ada seorang lelaki dari Yaman yang datang mencari
Rasulullah tetapi dia segera pulang ke Yaman kerana ibunya sudah tua dan uzur dan dia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.
10. Rasulullah
bersabda : “Kalau kamu ingin mengenali Uwais
al-Qarni, perhatikanlah dia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak
tangannya”. Sesudah itu Rasulullah
memandang kepada Saidina Ali dan Saidina
Umar yang berada di sisinya dan bersabda : “Jika suatu masa nanti kamu sempat bertemu dengan dia, mintalah dari dia
supaya dia berdoa kepada Allah untuk kamu kerana doanya amat makbul. Dia adalah
penghuni langit dan bukan penghuni bumi”.
11. Tidak
lama selepas peristiwa itu Rasulullah wafat. Saidina Abu Bakar as-Siddiq telah dilantik
menjadi khalifah. Bila Abu Bakar mati dia digantikan pula oleh Khalifah Umar al Khattab. Suatu ketika Khalifah
Umar teringat akan sabda Rasulullah tentang Uwais al-Qarni dan beliau segera
mengingatkan kepada Saidina Ali untuk mencari Uwais bersamanya. Sejak itu,
setiap kali ada kafilah dagang yang datang dari Yaman, beliau berdua selalu menanyakan
tentang Uwais samada dia turut bersama mereka. Diantara kafilah-kafilah itu ada
yang merasa hairan, apakah sebenarnya yang terjadi sehingga Uwais dicari oleh mereka berdua.
12. Rombongan
kafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka.
Suatu ketika, Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota
Madinah. Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, Khalifah Umar dan Saidina Ali mendekati mereka dan menanyakan apakah Uwais turut bersama
mereka. Rombongan itu mengatakan bahawa Uwais ada bersama mereka dan sedang
menjaga unta-unta mereka di luar kota. Mendengar jawapan itu, mereka berdua
bergegas pergi menemui Uwais. Sesampainya di khemah tempat Uwais berada,
Khalifah Umar dan Saidina Ali memberi salam. Tetapi rupanya Uwais sedang
menunaikan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam kedua tetamu
agung tersebut sambil bersalaman. Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera
membalikkan tangan Uwais untuk membuktikan kebenaran tanda putih ditelapak
tangan Uwais sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah. Memang benar! Dialah
penghuni langit. Uwais ditanya oleh kedua tetamu tersebut, siapakah nama
saudara? “Abdullah”, jawab Uwais. Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun
tertawa dan mengatakan : “Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah
namamu yang sebenarnya?” Uwais kemudian berkata: “Nama saya Uwais al-Qarni”.
13. Dalam
perbualan mereka, diketahuilah bahawa ibu Uwais telah
meninggal dunia. Itulah sebabnya dia baru dapat turut sama rombongan
kafilah dagang itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan Saidina Ali memohon agar
Uwais mendoakan untuk mereka. Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah:
“Sayalah yang harus meminta do’a kepada tuan-tuan”. Mendengar perkataan Uwais, Khalifah
Umar berkata: “Kami datang ke sini untuk mohon doa dari saudara kerana itulah pesanan dari Rasulullah”. Kerana desakan kedua
sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa kepada
Allah. Setelah itu Khalifah Umar berjanji untuk menyumbangkan wang negara dari
Baitulmal kepada Uwais untuk keperluan hidupnya. Uwais menolak dengan lembut
dengan berkata : “Saya mohon supaya hari ini saja saya diketahui orang. Untuk
hari-hari selanjutnya, biarlah saya yang fakir ini tidak diketahui orang lagi”. Selesai urusan dagang di Madinah Uwais pun pulang ke Yaman. Khalifah Umar dan Saidina Ali hanya berjaya menemui Uwais setelah 11 tahun menanti.
14. Beberapa
lama selepas itu, tersebar berita Uwais al-Qarni telah pulang kerahmatullah.
Anehnya, pada masa dia hendak dimandikan tiba-tiba sudah ramai orang yang
berebutan untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk
dikafankan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafankannya.
Demikian pula ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana sudah ada
orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju
ke tanah perkuburan, luar biasa ramainya orang yang berebutan untuk
mengusungnya. Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan: “Aku ikut menguruskan
jenazahnya hingga aku pulang dari menghantarkan jenazahnya. Aku pergi semula ke
kuburnya untuk meletakkan tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak terlihat
ada bekas kuburnya. [Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut
berperang bersama Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan Saidina Umar Al
Khattab].
MAKAM UWAIS |
15. Meninggalnya
Uwais telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi perkara-perkara
yang amat menghairankan. Ramainya orang yang tidak dikenali datang untuk
menguruskan jenazah dan pemakamannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak
dipedulikan orang. Sejak dia dimandikan sampai ketika jenazahnya hendak
diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap
melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang. Mereka saling
bertanya-tanya, siapakah sebenarnya Uwais al-Qarni. Bukankah
Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa, yang
kerjanya hanyalah sebagai pengembala kambing dan unta. Tetapi ketika hari
kematiannya, dia telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya orang-orang yang tidak pernah mereka kenali. Mereka datang dalam jumlah yang
agak ramai. Ada pendapat mengatakan mereka adalah para malaikat yang di turunkan ke bumi untuk menguruskan jenazah dan pemakamannya. Baru ketika itulah penduduk Yaman
mengetahui siapa Uwais al-Qarni sebenarnya.
Dia seorang yang tidak terkenal di bumi tapi menjadi sangat terkenal di
langit, iaitu di kalangan para malaikat Allah.
BAHAGIAN DALAM MAKAM UWAIS ALQARNI |
16. Berdasarkan kesah di atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat:
16.2. Allah memuliakan Uwais kerana dia memiliki rasa kasih dan sayang yang teramat sangat kepada Rasulullah sedangkan dia tidak pernah melihat Rasulullah. Berkaitan dengan kasih kepada Rasulullah ini Allah berfirman dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran](3:31) berbunyi:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
16.3. Uwais ialah seorang anak yang sangat taat dan kasih kepada ibunya yang menjadikan dia dimuliakan oleh Allah dan Rasulullah.
16.4. Mungkinkah Uwais termasuk dalam salah seorang yang telah disebutkan oleh Rasulullah bahawa akan terdapat seramai 70,000 orang Islam yang akan memasuki syurga Allah tanpa hisab di Padang Mahsyar. Beruntung dan bertuahlah engkau wahai Uwais AlQarni.
“Cukuplah bila aku merasa mulia karena Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hamba bagiMu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai” = Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah.
16.1. Kemuliaan seseorang manusia disisi Allah bukanlah kerana harta dan pangkatnya di dunia ini melainkan kerana keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Uwais seorang yang sangat kuat beribadat.
16.2. Allah memuliakan Uwais kerana dia memiliki rasa kasih dan sayang yang teramat sangat kepada Rasulullah sedangkan dia tidak pernah melihat Rasulullah. Berkaitan dengan kasih kepada Rasulullah ini Allah berfirman dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran](3:31) berbunyi:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
16.3. Uwais ialah seorang anak yang sangat taat dan kasih kepada ibunya yang menjadikan dia dimuliakan oleh Allah dan Rasulullah.
16.4. Mungkinkah Uwais termasuk dalam salah seorang yang telah disebutkan oleh Rasulullah bahawa akan terdapat seramai 70,000 orang Islam yang akan memasuki syurga Allah tanpa hisab di Padang Mahsyar. Beruntung dan bertuahlah engkau wahai Uwais AlQarni.
“Cukuplah bila aku merasa mulia karena Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hamba bagiMu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai” = Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah.
No comments:
Post a Comment