Sunday, 29 November 2015

AMALAN YANG BOLEH MERINGANKAN BEBAN MUSIBAH

1.  Dalam menjalani kehidupan seharian ini manusia tidak dapat lari dari menghadapi pelbagai bentuk dugaan ataupun musibah yang menimpa.  Orang yang beriman perlu yakin bahawa musibah itu tidak lain melainkan hanyalah ujian dari Allah SWT untuk mengetahui tahap keimanan kita kepadaNya. Lagi tinggi iman seseorang maka lagi tinggilah pula ujian dari Allah akan diterimanya. Orang yang beriman akan sentiasa rela dan redha dengan ketentuan qada’ dan qadar Allah SWT kepadanya. 

2.  Ibn Qayyim dalam kitabnya yang berjudul “Zad Al-Ma'ad” menjelaskan bahawa musibah yang berlaku kepada seseorang boleh diringankan dengan tujuh cara berikut:

2.1.   SENTIASA MENGIKUT PETUNJUK ALLAH

2.1.1. Dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:16) Allah SWT berfirman yang berbunyi:

“Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaanNya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izinNya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.”

2.1.2. Al-Quran adalah merupakan sumber dan rujukan utama ajaran Islam. Di dalamnya terkandung hidayah dan petunjuk bagi setiap orang yang beriman kepada Allah dalam menjalani kehidupan seharian agar selamat dan memperoleh kebahagian di dunia dan juga akhirat. Al-Quran boleh mengeluarkan manusia dari dalam kegelapan seperti kekafiran, kesesatan dan kebodohan menuju cahaya Allah SWT yang berupa keimanan, keislaman dan kebenaran dalam beragama. 

2.2.   IKHLASKAN IBADAH HANYA KERANA ALLAH SWT.

2.2.1. Setiap ibadat yang dikerjakan biarlah hanya diniatkan semata-mata kepada Allah. Semata-kerana mengharapkan pahala dariNya. Ikhlas selalunya lahir dari hati yang luhur yang mengharapkan hanya redha Allah S.W.T. Inilah kunci kesempurnaan dan kejayaan segala amalan yang dikerjakan. Allah hanya akan menerima amalan yang dilakukan dengan ikhlas. Dalam konteks ikhlas ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-An’am[Binatang Ternakan](6:162) yang berbunyi:
 

“Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”.

2.2.2. Ingatlah apa yang wajib dipersembahkan kepada Allah ialah segala ibadat dan amalan yang suci bersih dari segala rupa syirik atau sifat-sifat mazmumah.

2.3.   BERTAUBAT KERANA DOSA-DOSA KITA.


2.3.1.  Sebagai seorang manusia, tidak ada seorang pun yang tidak pernah membuat dosa.  Bezanya hanyalah samada dosa besar ataupun kecil. Justeru sebagai seorang hamba yang berdosa sewajarnya kita sentiasa bertaubat kepada Allah kerana dosa-dosa yang dilakukan.  Jangan kita biarkan dosa kita semakin bertambah banyak kerana ia memungkinkan kita payah untuk bertaubat kepada Allah.

2.3.2. Allah SWT amat menyedari kelemahan hamba-hambanya.  Oleh kerana itu Allah sentiasa bersedia menerima taubat nasuha dari kita.  Dalam Al-Quran Allah telah berfirman dalam beberapa tempat untuk mengingatkan manusia supaya bertaubat kepadaNya. Antaranya ialah:

(a) Dalam Surah At-Tahrim[Pengharaman](66:8) yang berbunyi:
 

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang sebenar-benarnya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."

(b) Dalam Surah Az-Zumar [Rombongan](39:53) yang berbunyi:


Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(39:54)
 

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”.

(c) Dalam Surah Al-‘Araf [Tempat Tinggi] (7:153) berbunyi: 


“Orang-orang yang mengerjakan kejahatan, kemudian bertaubat sesudah itu dan beriman; sesungguhnya Tuhan kamu sesudah taubat yang disertai dengan iman itu adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

                   2.3.3. Antara sabda Rasulullah tentang bertaubat ini ialah:

(a) “Barangsiapa bertaubat sebelum matahari terbit dari barat nescaya Allah menerima taubatnya.” (Hadis Riwayat Muslim).

(b) “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepadaNya, sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” (Hadis Riwayat Muslim).

 (c) “Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di siang hari dan Dia membentangkan tanganNya pada siang hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di malam hari, sehingga matahari terbit dari barat (Kiamat).” (Hadis Riwayat Muslim).

2.4.   SENTIASA BERZIKIR 

2.4.1. Sifat orang-orang yang beriman itu ialah lidah mereka sentiasa basah berzikir kepada Allah SWT.  Dengan berzikir hati kita akan menjadi tenang dan damai kerana masa itu kita sedang berhubung terus dengan Allah. Bagi orang seperti ini Allah SWT berfirman dalam Surah Al Imran[Keluarga Imran](3:191) yang berbunyi:
 

“(Yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

2.5.   BERUSAHA MENCARI ILMU BAGI MENAMBAH PAHALA.


2.5.1. Ilmu agama perlu dicari samada di masjid ataupun surau. Jadikanlah majlis tazkirah agama sebagai tempat yang sentiasa dikunjungi. Berusahalah untuk mendengar dan mendapatkan ilmu dari guru-guru agama yang berilmu dan arif dalam bidang masing-masing.

2.5.2. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menuntut ilmu bererti mereka telah menuntut jalan ke syurga”.(Hadis Riwayat Muslim)

2.5.3. Imam Asy-Syatibi di dalam kitabnya berjudul “Al Muwafaqot” berkata : “Ilmu yang muktabar menurut syarak adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya. Yang membawa pemiliknya mematuhi peraturan-peraturan dan perintah dari Allah SWT”.

2.6.  MELAKUKAN MUJAHADAH

2.6.1. Dengan bermujahadah seseorang mampu mengikis sifat-sifat negatif yang ada pada dirinya. Bermujahadahlah untuk melihat kelemahan-kelemahan yang ada dalam diri kita, lebih-lebih lagi kelemahan itu berupa penyakit hati dan berusaha mengubatinya. Mujahadah bermaksud memerangi hawa nafsu yang mengatasi segala kelemahan diri untuk mencapai kesempurnaan keredaan Allah SWT.  

2.6.2. Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Pada umumnya apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh kita. Hanya dengan iman sahaja seseorang itu mampu melawan hawa nafsunya. Ramai orang yang tidak mahu berbuat perkara mungkar tetapi tidak mampu kerana sentiasa mendapat bisikan  syaitan.  Ini kerana  syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga dengan nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti letih. 

2.7. BERBUAT BAIK KEPADA SEMUA MAKHLUK ALLAH.

2.7.1.   Seorang mukmin sejati akan berbuat baik kepada semua makhluk ciptaan Allah SWT di muka bumi ini, tidak kira sama ada manusia, haiwan ataupun tumbuh-tumbuhan. Keutamaan berbuat baik itu ialah kepada kedua ibu bapa, saudara mara, jiran tetangga, anak yatim dan fakir-miskin.

2.7.2. Berkaitan dengan berbuat baik ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah An-Nisa [Kaum Perempuan](4:114) yang berbunyi:
 

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat amal makruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar”.

3.  Allah SWT akan meringankan segala bebanan dan penderitaan kita sekiranya hati kita sentiasa berhubung denganNya, berdoa, bermunajat dan sentiasa mengharapkan pertolonganNya. Musibah yang menimpa kita juga akan diringankan olehNya. Justeru itu marilah kita sama-sama mengamalkan tujuh perkara yang tersebut di atas. Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang sentiasa mengharap dan bergantung kepada kekuasaanNya.

“Perkataan itu seperti ubat, kalau sedikit bercakap memberi manfaat, tetapi terlalu banyak bercakap nescaya boleh membunuh,” – Mutiara Kata Amru Al-‘As

Wednesday, 25 November 2015

AMALAN-AMALAN UNTUK MEMPEROLEHI HUSNUL KHATIMAH.

1.  Sebaik-baik umur itu adalah umur panjang yang dipenuhi dengan amalan  soleh kepada Allah. Sebaliknya seburuk-buruk umur itu ialah umur yang panjang tetapi diisi dengan melakukan perbuatan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.  

2.  Ingatlah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasa kematian.  Allah menghidupkan kita kerana satu hari Dia akan mematikannya. Itu sudah menjadi sunnatullah. Berkaitan perkara ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Imran[Keluarga Imran](3:185) yang berbunyi:


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

3.  Husnul khatimah merupakan suatu keadaan di mana seseorang diberikan taufiq hidayah oleh Allah SWT sebelum datangnya kematian untuk dia meninggalkan segala perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah kepadanya.  Dia sempat bertaubat dan melakukan ketaatan serta berbuat kebajikan di jalan Allah dan akhirnya dia mati dalam keadaan sedemikian.

4.   Sekurang-kurangnya terdapat sembilan perkara perlu dilakukan oleh seorang mukmin supaya di akhir hayatnya mereka beroleh mati dalam keadaan husnul khatimah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

4.1.   Keadaan di akhir hayat seseorang bergantung kepada amalannya seharian semasa hidup. Justeru, penuhilah hari-hari kita ini dengan selalu beramal soleh dan mencari pahala yang berupa harta akhirat. Hati kita perlulah disuburkan dengan mengingati kematian supaya ia boleh menjadi motivasi untuk beramal soleh.

4.2.   Perbanyakkanlah amalan yang boleh memberikan kebaikan kepada orang ramai samada berdakwah untuk kembali kepada Allah, menyebarkan ilmu, menyeru kepada kasih sayang dan persaudaraan, menggalakkan amal soleh dan selalu berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

4.3.  Sentiasa bersedekah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Allah dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).” (Hadis Riwayat Termizi)

4.4.   Tidak meminta mati kecuali kerana telah terjadi fitnah yang mengancam keselamatan diri dan agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya, kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah dia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.5.   Mengamalkan membaca doa disetiap akhir solat fardu. Di antara doa-doa yang sesuai diamalkan adalah :

 هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh." (Surah Asy-Sy’ara, ayat 83)

اللهم اجعل خير عمري أخره و خير عملي خواتيمه و خير أيامي يوم لقائك

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada hujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan (jadikanlah) sebaik-baik hariku iaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu (di hari kiamat).” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

اللهم اختم لنا بحسـن الخاتمة ولا تختم علينا بسـوء الخاتمة

Maksudnya: “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khatimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khatimah (akhir yang buruk).”

4.6.   Ajal adalah suatu misteri. Ia adalah rahsia bagi Allah SWT. Ajal boleh datang menjemput kita secepat kilat.  Sebaliknya kadang-kadang ia tidak datang-datang walaupun telah dinanti-nantikan begitu lama. Namun jika ajal telah datang, ia tidak boleh ditangguh lagi  walaupun sesaat. Buatlah persiapan sebaik mungkin sebelum berpisahnya roh dari badan. Persiapan sebelum kematian adalah dengan sentiasa beristighfar, sentiasa minta maaf sesama manusia, selesaikan semua hutang-hutang, jaga solat fardu berjemaah dimasjid, sedekah jariah, sebarkan ilmu yang bermanfaat dan melahirkan anak-anak yang soleh.

4.7.   Kerap menyuburkan perasaan takut dan harap, iaitu takut tidak diampuni dosa-dosa kita dan berharap bahawa Allah SWT itu Maha Pemurah dan Maha Pengampun yang akan selalu memberikan rahmat kepada orang-orang yang dikehendakiNya.

4.8.   Jangan sekali-kali mengakhiri hidup dengan jalan pintas hanya kerana adanya tekanan hidup yang berat. Orang yang mengakhiri hidupnya dengan cara bunuh diri tidak akan diterima amalnya dan hidupnya akan berakhir dalam neraka. Allah SWT telah mengingatkan manusia agar jangan berputus asa dari rahmatNya.  Firman Allah itu ialah seperti dalam Surah Yusuf (12:87) yang berbunyi:


Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir".

4.9.   Ketika sudah ada tanda-tanda akan dijemput oleh Allah SWT, perbanyakkanlah membaca kalimah syahadah.  Rasulullah SAW pernah menyatakan siapa yang ucapan terakhirnya adalah “Laa Ilaaha illallah” maka orang itu berpeluang untuk masuk syurga.

5.    Oleh kerana kematian itu boleh datang kepada kita pada bila-bila masa maka berusahalah untuk memastikan kita meninggalkan dunia yang fana ini dalam keadaan husnul khatimah. Semoga kita bakal memperolehi syurga Allah di akhirat nanti.

"Setiap orang di dunia ini adalah seperti seorang tetamu dan hartanya adalah pinjaman. Tetamu ini pasti akan pergi samada cepat atau lambat dan pinjaman itu haruslah dikembalikan kepada tuannya". ~ Mutiara Kata Ibnu Mas’ud

Saturday, 21 November 2015

HIKMAH SETIAP PERINTAH DARI ALLAH SWT








“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 216)

1.  Sekumpulan wanita sedang berhimpun dan berbincang tentang pelbagai permasalahan. Tanpa disedari, timbul persoalan dari setiap wanita itu mengenai kekurangan yang ada pada wanita yang dirasakan sukar dan tidak adil untuk mereka.  Setiap orang dari mereka menyuarakan keluhan masing-masing seperti berikut:

1.1.  Keluhan wanita pertama; “Aduh, situ tutup, sini tutup, semuanya nak kena tutup. Susah lah macam  ni. Kenapa pula lelaki senang sahaja?. Tak pakai baju pun tak mengapa.  Perempuan auratnya kiri, kanan, atas, bawah, depan dan belakang.”

1.2.  Keluhan wanita kedua; “Kenapa pula kita para isteri ni nak keluar rumah kena minta izin dari suami pulak?. Sedangkan bila suami nak keluar rumah ke mana-mana pun tak beritahu kami kaum wanita tak mengapa pula”.

1. 3.  Keluhan wanita ketiga: “Jika kita ikut faraid(pembahagian harta pusaka ikut Islam), berdasarkan Surah AnNisa dalam hal pesaka maka rugilah kita.  Sebab bahagian harta pesaka perempuan lebih sikit berbanding harta diperolehi anak lelaki.  Itukah keadilan?.

1.4. Keluhan wanita keempat: “Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak?. Suami kita senang saja. Masa nak buat anak cari kita.  Masa beranak kita yang tanggung sendiri.”

1.5. Keluhan wanita kelima: “Islam kata kita perempuan wajib taat kepada suami kita, tapi adakah Islam cakap suami perlu taat juga kepada isterinya?. Dimanakah keadilan untuk kaum wanita?.”

1.6. Keluhan wanita keenam: “Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talaq.  Isteri tak boleh ceraikan suaminya.  Kenapa?.

1.7. Keluhan wanita ketujuh: “Wanita tak boleh hendak beribadat seperti lelaki sebab ada haid dan nifas.  Tak boleh hendak solat dan puasa.  Ingat perempuan ni suka ke tidak solat dan puasa?. Dahlah gitu, lepas tu kena ganti pula.”

2.  Kemudian datanglah seorang lelaki kepada 7 orang wanita itu lalu bertanya, mengapakah mereka mengomel tentang kejadian dan penciptaan wanita oleh Allah dan kekurangannya.  Setelah disoal dengan soalan tersebut, lelaki tersebut memandang setiap wanita itu sambil tersenyum dan menjawab setiap keluhan 7 wanita tersebut seperti berikut:

2.1. Kepada wanita pertama: “Saudari, Islamlah yang telah mengangkat aurat wanita.  Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang paling aman dan terbaik kan?. Emas dan permata pun tak sanggup kita nak letak terdedah ditepi jalan. Sebaliknya kita simpan dalam rumah atau peti yang selamat kan?. Jika anda letakkan barang itu ditempat orang lalu lalang apa jadi dengan barang perhiasan itu. Bagi orang lelaki auratnya ialah bawah pusat hingga ke lutut.  Tapi anda?.  Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tapak tangan,  Alangkah mahalnya harga anda untuk seorang lelaki.” 

2.2. Kepada wanita kedua : “Memang isteri perlu taat kepada suami. Tetapi bagaimana pula seorang lelaki. Seorang suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah bekerja.  Isteri pula tidak perlu lagi.  Taatnya hanya kepada suami. Kenapa anda perlu taat kepada suami?. Kerana suami adalah orang yang menanggung SEMUA dosa yang anda lakukan.”

2.3. Kepada wanita ketiga: “Benar, wanita menerima warisan pesaka sedikit berbanding dengan lelaki, tetapi harta itu menjadi hak mutlak untuk wanita dan dia berhak lakukan apa sahaja yang dia mahu. Tak perlu dikongsi dengan sesiapa pun walaupun suami.  Lelaki pula, dia perlu membahagikan harta pesaka itu kepada isteri dan anak-anaknya.  Kalau isteri dia ramai, anak ramai, harta pula secebis, tak merasalah dia.”   
    
2.4.  Kepada wanita keempat: “Tahniah dan terima kasih kepada wanita kerana dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali anda begitu, anda akan didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat.  Subhanallah. Beruntungnya anda.  Andaikan anda meninggal pula masa beranak itu, percayalah itu mati syahid dan ganjarannya syurga.”

2.5.  Kepada wanita kelima: “Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan di minta bertanggung jawab ke atas empat orang wanita.  Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya.  Tahu apa maksudnya?. Maknanya, anda nanti diakhirat akan dibantu oleh empat lelaki.  Siapa mereka?.  Mereka ialah suami anda, ayah anda, anak lelaki anda dan adik lelaki/abang anda.”

2.6.  Kepada wanita keenam: “Nak beribadat macam lelaki beribadat?. Agaknya kenapa Rasulullah  SAW lebih suka wanita beribadat di rumah saja berbanding masjid?.  Kami kaum lelaki perlu beribadat siang dan malam untuk mendapat syurga.  Anda sebagai wanita boleh masuk syurga melalui sebarang pintu yang anda sukai tanpa perlu bersusah payah. Ya. Dahlah syurga, ada pilihan pula.  Hanya dengan empat cara.  Solat lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga kehormatan dan taat kepada suami anda. Itu saja”.    
     
2.7. Kepada wanita ketujuh: “Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah.  Anda, seorang wanita jika taat kepada suaminya serta menunaikan tanggung jawabnya kepada Allah, maka anda akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi  berjihad fisabilillah tanpa perlu angkat senjata.  Itu janji Allah kepada anda.”

3.   Kemudian lelaki itu bertanya semua wanita tersebut. “Sebenarnya apa lagi yang kamu mahu, wahai kaum Hawa.” Wanita-wanita tadi menangis dan salah seorang darinya berkata; “Masya Allah, sayangnya Allah kepada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri kami ke neraka yang di dalamnya kaum kami lebih ramai berbanding lelaki.”

4.  Sedarilah oleh kita semua, khususnya kaum Hawa.  Allahlah yang mencipta manusia.  Justeru sudah pastilah Dialah yang Maha Mengetahui, sehingga segala hukumNya, malah peraturanNya, tentulah yang terbaik untuk manusia berbanding dengan peraturan ciptaan manusia. Setiap perintah dan larangan Allah pastinya ada kebaikan untuk manusia.  Seorang Islam sejati tidak akan mempertikaikan apa juga perintah dan laranganNya. Terimalah sahaja sepenuh hati.  Mudah-mudahan kita beroleh syurga di negeri akhirat nanti.

“Hiduplah sesuka hatimu, sesungguhnya kamu pasti mati. Cintai siapa saja yang kamu senangi, sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya. Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, sesungguhnya kamu akan memperolehi balasannya. Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu sentiasa akan timbul kesenangan” – Mutiara Kata Ibnu Abbas
Sumber dari grup watsap MPKM

Tuesday, 17 November 2015

JAWAPAN ALLAH SWT YANG BERBEZA DENGAN MANUSIA

1.   Ada empat soalan yang memerlukan jawapan. Berilah jawapan ditempat kosong di bawah ini dengan jujur dalam hati masing2. 

1.1    Allah menciptakan tertawa dan ____________________

1.2.   Allah mematikan dan __________________________

1.3.   Allah menciptakan lelaki dan _____________________

1.4.   Allah memberikan kekayaan dan __________________

2.    Kebanyakan kita tentu boleh memberikan jawapan dengan mudah iaitu:

2.1.   Menangis

2.2.   Menghidupkan 

2.3.   Perempuan

2.4.  Tapi bagaimana dengan nombor 4?.  Adakah kita memberikan jawapan “kemiskinan”. 

3.      Untuk mengetahui jawapannya dari Allah SWT mari kita lihat firman-firmanNya dalam Surah An-Najm [Bintang](53:43) yang berbunyi:


“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.”

(53:44)

“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan.”

(53:45)


“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

(53:48)

 “Dan bahwasanya Dialah yang memberikan kekayaan dan memberikan kecukupan.”

4.   Kita hanya betul dalam memberikan jawapan-jawapan untuk soalan 1 hingga 3 sahaja.  Tetapi bagi soalan nombor 4 ramai yang tersalah. Ramai yang akan jawab ‘kemiskinan’. Allah tidak memberikan jawapan yang sama dengan apa yang akal kita mampu fikirkan. Itulah kehebatan dan ketinggian Allah SWT. Jawapan Allah dalam Al-Quran ialah “kecukupan”. Sesungguhnya Allah memberikan kekayaan dan kecukupan kepada hamba-hambanya.  Kenapa Allah tidak kata kemiskinan?.  Kemiskinan itu amat relatif. Ia wujud kerana kita membandingkannya dengan orang lain. Sebenarnya yang mencipta kemiskinan itu ialah diri kita sendiri. Oleh sebab itulah orang yang miskin tetapi tetap bersyukur itu, hidupnya sentiasa tersenyum dan selalu merasa cukup dengan rezeki pemberian dari Allah.  Mereka tidak akan merasa miskin.

5.  Justeru, sama-samalah kita suburkan dalam diri ini rasa cukup dan berpada (qanaah) dengan pemberian dari Allah SWT. Berhentilah mengeluh kerana harta.  Sesungguhnya  kehidupan kita di dunia ini tidak kekal.  Tidak abadi. Sebaik sahaja kita mati semua harta dan kekayaan itu pasti menjadi milik orang lain. Jika pun kita miskin di dunia ini ia hanyalah sementara sahaja. Carilah kekayaan sejati dan abadi di Negeri Akhirat!.

“Orang berilmu bertanya mengenai perkara yang dia sudah tahu dan perkara yang belum diketahuinya. Maka dengan cara ini dia dapat memperkemaskan ilmu yang telah ada dan dapat menimba ilmu yang belum diketahui.Orang jahil pula sentiasa menyisih diri daripada menerima pelajaran dan berhenti daripada belajar” – Mutiara kata Imam Syafie Rahimahullah

Nota:  Bahan dari kawan-kawan dalam grup watsap MPKM