Saturday, 21 November 2015

HIKMAH SETIAP PERINTAH DARI ALLAH SWT








“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 216)

1.  Sekumpulan wanita sedang berhimpun dan berbincang tentang pelbagai permasalahan. Tanpa disedari, timbul persoalan dari setiap wanita itu mengenai kekurangan yang ada pada wanita yang dirasakan sukar dan tidak adil untuk mereka.  Setiap orang dari mereka menyuarakan keluhan masing-masing seperti berikut:

1.1.  Keluhan wanita pertama; “Aduh, situ tutup, sini tutup, semuanya nak kena tutup. Susah lah macam  ni. Kenapa pula lelaki senang sahaja?. Tak pakai baju pun tak mengapa.  Perempuan auratnya kiri, kanan, atas, bawah, depan dan belakang.”

1.2.  Keluhan wanita kedua; “Kenapa pula kita para isteri ni nak keluar rumah kena minta izin dari suami pulak?. Sedangkan bila suami nak keluar rumah ke mana-mana pun tak beritahu kami kaum wanita tak mengapa pula”.

1. 3.  Keluhan wanita ketiga: “Jika kita ikut faraid(pembahagian harta pusaka ikut Islam), berdasarkan Surah AnNisa dalam hal pesaka maka rugilah kita.  Sebab bahagian harta pesaka perempuan lebih sikit berbanding harta diperolehi anak lelaki.  Itukah keadilan?.

1.4. Keluhan wanita keempat: “Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak?. Suami kita senang saja. Masa nak buat anak cari kita.  Masa beranak kita yang tanggung sendiri.”

1.5. Keluhan wanita kelima: “Islam kata kita perempuan wajib taat kepada suami kita, tapi adakah Islam cakap suami perlu taat juga kepada isterinya?. Dimanakah keadilan untuk kaum wanita?.”

1.6. Keluhan wanita keenam: “Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talaq.  Isteri tak boleh ceraikan suaminya.  Kenapa?.

1.7. Keluhan wanita ketujuh: “Wanita tak boleh hendak beribadat seperti lelaki sebab ada haid dan nifas.  Tak boleh hendak solat dan puasa.  Ingat perempuan ni suka ke tidak solat dan puasa?. Dahlah gitu, lepas tu kena ganti pula.”

2.  Kemudian datanglah seorang lelaki kepada 7 orang wanita itu lalu bertanya, mengapakah mereka mengomel tentang kejadian dan penciptaan wanita oleh Allah dan kekurangannya.  Setelah disoal dengan soalan tersebut, lelaki tersebut memandang setiap wanita itu sambil tersenyum dan menjawab setiap keluhan 7 wanita tersebut seperti berikut:

2.1. Kepada wanita pertama: “Saudari, Islamlah yang telah mengangkat aurat wanita.  Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang paling aman dan terbaik kan?. Emas dan permata pun tak sanggup kita nak letak terdedah ditepi jalan. Sebaliknya kita simpan dalam rumah atau peti yang selamat kan?. Jika anda letakkan barang itu ditempat orang lalu lalang apa jadi dengan barang perhiasan itu. Bagi orang lelaki auratnya ialah bawah pusat hingga ke lutut.  Tapi anda?.  Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tapak tangan,  Alangkah mahalnya harga anda untuk seorang lelaki.” 

2.2. Kepada wanita kedua : “Memang isteri perlu taat kepada suami. Tetapi bagaimana pula seorang lelaki. Seorang suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah bekerja.  Isteri pula tidak perlu lagi.  Taatnya hanya kepada suami. Kenapa anda perlu taat kepada suami?. Kerana suami adalah orang yang menanggung SEMUA dosa yang anda lakukan.”

2.3. Kepada wanita ketiga: “Benar, wanita menerima warisan pesaka sedikit berbanding dengan lelaki, tetapi harta itu menjadi hak mutlak untuk wanita dan dia berhak lakukan apa sahaja yang dia mahu. Tak perlu dikongsi dengan sesiapa pun walaupun suami.  Lelaki pula, dia perlu membahagikan harta pesaka itu kepada isteri dan anak-anaknya.  Kalau isteri dia ramai, anak ramai, harta pula secebis, tak merasalah dia.”   
    
2.4.  Kepada wanita keempat: “Tahniah dan terima kasih kepada wanita kerana dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali anda begitu, anda akan didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat.  Subhanallah. Beruntungnya anda.  Andaikan anda meninggal pula masa beranak itu, percayalah itu mati syahid dan ganjarannya syurga.”

2.5.  Kepada wanita kelima: “Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan di minta bertanggung jawab ke atas empat orang wanita.  Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya.  Tahu apa maksudnya?. Maknanya, anda nanti diakhirat akan dibantu oleh empat lelaki.  Siapa mereka?.  Mereka ialah suami anda, ayah anda, anak lelaki anda dan adik lelaki/abang anda.”

2.6.  Kepada wanita keenam: “Nak beribadat macam lelaki beribadat?. Agaknya kenapa Rasulullah  SAW lebih suka wanita beribadat di rumah saja berbanding masjid?.  Kami kaum lelaki perlu beribadat siang dan malam untuk mendapat syurga.  Anda sebagai wanita boleh masuk syurga melalui sebarang pintu yang anda sukai tanpa perlu bersusah payah. Ya. Dahlah syurga, ada pilihan pula.  Hanya dengan empat cara.  Solat lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga kehormatan dan taat kepada suami anda. Itu saja”.    
     
2.7. Kepada wanita ketujuh: “Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah.  Anda, seorang wanita jika taat kepada suaminya serta menunaikan tanggung jawabnya kepada Allah, maka anda akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi  berjihad fisabilillah tanpa perlu angkat senjata.  Itu janji Allah kepada anda.”

3.   Kemudian lelaki itu bertanya semua wanita tersebut. “Sebenarnya apa lagi yang kamu mahu, wahai kaum Hawa.” Wanita-wanita tadi menangis dan salah seorang darinya berkata; “Masya Allah, sayangnya Allah kepada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri kami ke neraka yang di dalamnya kaum kami lebih ramai berbanding lelaki.”

4.  Sedarilah oleh kita semua, khususnya kaum Hawa.  Allahlah yang mencipta manusia.  Justeru sudah pastilah Dialah yang Maha Mengetahui, sehingga segala hukumNya, malah peraturanNya, tentulah yang terbaik untuk manusia berbanding dengan peraturan ciptaan manusia. Setiap perintah dan larangan Allah pastinya ada kebaikan untuk manusia.  Seorang Islam sejati tidak akan mempertikaikan apa juga perintah dan laranganNya. Terimalah sahaja sepenuh hati.  Mudah-mudahan kita beroleh syurga di negeri akhirat nanti.

“Hiduplah sesuka hatimu, sesungguhnya kamu pasti mati. Cintai siapa saja yang kamu senangi, sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya. Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, sesungguhnya kamu akan memperolehi balasannya. Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu sentiasa akan timbul kesenangan” – Mutiara Kata Ibnu Abbas
Sumber dari grup watsap MPKM

No comments:

Post a Comment