Thursday, 5 November 2015

JANGGUT : MENYINGKAP RAHSIA MENYIMPANNYA

SHEIKH ABDUL RAHMAN SUDAIS, IMAM MASJIDIL HARAM, MEKAH

1.   Dalam Surah Al-Hasyr[Pengusiran](59:7), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)”.

2.   Perintah yang dibawa oleh Rasululah SAW itu bererti apa jua suruhan, perbuatan, amalan malah kelakuan yang datangnya dari Rasulullah. Salah satu dari amalan Rasululah ialah menyimpan janggut. Terdapat hadis-hadis dari Rasulullah yang menunjukkan bahawa baginda menganjurkan agar menyimpan janggut.  Antaranya:

2.1. Abdullah bin Umar berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu menyerupai orang-orang musyrikin, peliharalah janggut kamu dan tipiskanlah misai (kumis) kamu". Hadis Riwayat  Bukhari, Muslim dan Al Baihaqi.

2.2.  Abi Imamah berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Potonglah misai kamu dan peliharalah janggut kamu, tinggalkan (jangan meniru) Ahlil-Kitab". Hadis Riwayat Ahmad dan At-Tabrani.

2.3.  Aisyah R.A. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sepuluh perkara dari fitrah (dari sunnah nabi-nabi) di antaranya ialah mencukur misai dan memelihara janggut". Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, Termizi, An Nasaii dan Ibn Majah.

3.  Orang Islam telah pun sedia ketahui bahawa setiap apa yang disuruh dan dilarang di dalam Islam itu pasti dan wajib ada hikmah dan rahsia disebaliknya. Ini kerana sebenarnya ia datang dari Allah SWT, Pencipta alam dan seluruh isi kandungannya. Begitulah juga dengan setiap perbuatan, amalan, dan kelakuan Rasulullah itu adalah dengan wahyu atau petunjuk dari Allah. Apabila Rasulullah menyimpan janggut ia pastinya suruhan dari Allah kepadanya.  Apakah hikmah dan kelebihan menyimpan janggut ini?. Rasulullah telah mengamalkannya lebih dari 1400 tahun lalu dan diikuti oleh sebilangan orang Islam hingga kini.  Kini rahsia dan kebaikan menyimpan janggut telah didedahkan oleh saintis.

INSTITUT TEKNOLOGI MASSACHUSETTS
4.  Saintis dari Institut Teknologi Massachusetts, Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang janggut dan ia dimuatkan dalam laporan yang berjudul “The Amazing Fact of Human body”. Hasil kajian itu mendapati janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang boleh membantu kesuburan seorang wanita. Ia boleh menstabilkan kitaran haid dan menggalakkan pertumbuhan telur (ovari) wanita. Dalam kata lain, janggut lelaki boleh berperanan untuk meningkatkan tahap keghairahan seks dan kesuburan pasangannya. Bagaimana hal ini boleh berlaku?.  Ia boleh berlaku hanya melalui sentuhan. Isteri yang banyak menyentuh janggut suaminya lebih berpeluang untuk meningkatkan lagi kesuburannya. Dan ini akan dapat membantu pasangan untuk mendapatkan zuriat.

5. Apakah hormon testosterone: Hormon testosteron ialah sejenis hormon steroid daripada kumpulan androgen. Dalam mamalia dan manusia, hormon ini lazimnya dihasilkan oleh testis jantan/lelaki dan ovari betina/perempuan. Secara purata, lelaki dewasa menghasilkan antara 40 hingga 60 kali lebih banyak hormon ini berbanding perempuan. Ia merupakan steroid anabolic, iaitu hormon seks utama lelaki. Ia membantu dalam menghasilkan sperma dan juga merangsangkan perkembangan ciri seks pada seorang lelaki seperti pembentukan otot yang kasar, misai serta perubahan suara. 

 6. Penemuan lain tentang janggut ialah oleh Dr. Adam Roberts. Beliau ialah seorang ahli mikrobologis dari Kolej Universiti London. Beliau menemui potensi antibiotik yang berkembang biak pada janggut. Dari 20 sampel janggut yang diambil ia mendapati ada bakteria baik yang mampu membunuh kuman. Justeru bakteria pembunuh inilah yang dipercayai boleh menjadi antibiotik yang menjadikan pemilik janggut lebih tahan serangan penyakit.

7.   Subhanallah. Maha Suci Allah. Setiap perintah yang datangnya dari Allah pastinya ada kebaikan kepada manusia. Justeru itu, kepada pasangan yang belum dikurniakan zuriat bolehlah mencuba kaedah baru ini. Cadangkan kepada suami untuk menyimpan janggut. Lepas itu isteri bolehlah sentiasa membelai janggut suaminya. Ia adalah ikhtiar untuk membantu kesuburan isteri dengan tujuan mendapatkan zuriat selain dari menambahkan lagi kemesraan suami isteri. Bagi suami pula mereka akan mendapat pahala dari Allah SWT kerana mengikut salah satu dari sunah Rasulullah SAW. 

"Orang yang menzalimi diri sendiri ialah mereka yang tunduk dan patuh pada mereka yang tidak menghormatinya, mengharapkan kemanisan pada sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya dan menerima pujian daripada mereka yang tidak dikenalinya.” – Mutiara Kata Imam Syafie Rahimahullah

No comments:

Post a Comment