Tuesday, 3 November 2015

PESANAN SHEIKH ABDUL QADIR JILANI - "BERSANGKA BAIKLAH DENGAN ORANG LAIN"

LUKISAN GAMBARAN WAJAH SHEIKH ABDUL QADIR JILANI






“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” Petikan dari Surah Luqman(31:22)

1.   Siapakah Sheikh Abdul Qadir Jilani ini?. Nama penuhnya ialah Sayyid Abu Muhammad Abdul Qadir yang telah  dilahirkan di Naif dalam daerah Jilan di Negara Iran. Beliau lahir pada tanggal 1 Ramadan Tahun 470 Hijrah bersamaan dengan tahun 1077 Masihi. Bapanya ialah Abu Salih, seorang alim yang taat kepada perintah Allah dan berketurunan Imam Hassan iaitu anak sulung Saidina Ali Karramalah Wajhah. Ibunya pula ialah Umm Khair Fatima, iaitu anak kepada Abdullah Saumi yang  berketurunan Imam Husin, anak kedua Saidina Ali. Oleh yang demikian Sheikh Abdul Qadir Jilani ialah dari keturunan Hassan dan juga Hussin.  Beliau merupakan seorang ulama fiqah yang terkenal dan dihormati oleh orang-orang Sunni.  Beliau dianggap seorang wali dalam dunia tarikat dan sufi.

2.   Semenjak kecil lagi beliau seorang yang pendiam dan bersopan santun. Gemar termenung sambil berfikir dan sangat cenderung kepada mistik (ilmu kerohanian). Setelah berumur 18 tahun beliau telah pergi menuntut ilmu di Baghdad.  Baghdad pada masa itu ialah pusat pengajian agama. Semasa di sana beliau berguru dengan seorang ahli sufi bernama Sheikh Hamad Ad-Dabbas.  Dia seorang penjual syarbat (air sirap) tetapi seorang wali Allah yang hebat di zamannya. Wali ini membimbing Abdul Qadir dalam tarikat shufiyah. Abdul Qadir menghindarkan dirinya dari segala keseronokan dunia kecuali yang paling perlu untuk kehidupan. Beliau banyak menghabiskan masa dan tenaganya untuk solat dan membaca Al-Quran. Kadang-kadang beliau solat subuh dengan wuduk solat Isyak. Pernah juga beliau khatam Al-Quran dalam satu malam sahaja. 

3.  Kemudiannya beliau meninggalkan Baghdad dan menetap di Shustar, satu tempat yang jauhnya 12 hari perjalanan dari Baghdad. Selama 11 tahun beliau mengasingkan dirinya kerana menuntut ilmu kerohanian. Setelah genap sebelas tahun itu tamatlah latihan kerohanian beliau. Beliau mampu membuang nafsu amarah pada dirinya dan menjadi orang yang berada hampir dengan Allah.

4.  Dalam tahun 521 Hijrah barulah beliau mula mengajar orang ramai. Dia diberi satu madrasah untuk mengajar. Pada mulanya sedikit sahaja muridnya. Tetapi selepas itu terkenallah beliau sebagai seorang yang bijak, alim, warak, soleh, mempunyai ilmu yang luas dan kuat berpegang kepada ajaran Islam. Ramailah orang yang datang mengunjungi beliau untuk mempelajari ilmu-ilmu darinya. Lama kelamaan madrasah pun tidak mampu untuk menampung orang yang begitu ramai. Dalam tahun 528 Hijrah rumah-rumah yang berdekatan telah diambil untuk menampung murid-murid beliau. Itupun tidak cukup. Maka diadakan pula tempat di luar bandar dan di situ dibina satu bangunan untuk beliau yang dipanggil Musafir Khaanah. Pelbagai lapisan orang  datang belajar dengan beliau dalam berbagai ilmu.  Dikatakan orang-orang bukan Islam pun ada yang datang mendengar pengajarannya dan ada yang masuk Islam kerana dakwah beliau. Ratusan orang Yahudi dan Kristian yang telah masuk Islam kerana dakwahnya.  Diberitakan juga ramai orang Islam yang menjadi penyamun, perompak, penzina, kaki judi dan melakukan berbagai-bagai maksiat dan dosa telah bertaubat selepas mendengar syarahan beliau. Demikianlah betapa hebatnya kekuatan kerohanian disebalik syarahan-syarahan beliau itu. Dengan kebesaran jiwanya itu beliau amat dihormati oleh orang-orang besar di zaman itu. 

5.  Hanya setelah berusia 51 tahun barulah beliau mendirikan rumah tangga kerana terlalu asyik mencari dan menyebarkan ilmu agama kepada orang ramai.  Almarhum dianugerahkan anak yang sangat ramai. Empat orang anak lelaki beliau yang terkenal ialah:

5.1.  Sheikh Abdul Wahab ialah anak yang sulung. Menguasai ilmu yang luas. Beliau diberi kuasa menjaga madrasah bapanya dalam tahun 543 Hujrah. Setelah bapanya meninggal dunia, beliau pula memberi syarahan dan memberi fatwa tentang syariat Islam. Beliau memegang jawatan dalam negeri dan seorang yang sangat terkenal.

5.2.  Sheikh Isa ialah seorang guru hadis dan fukaha’ agung. Beliau pengarang puisi dan juga seorang pensyarah yang baik dan menulis kitab-kitab tentang ilmu sufi.

5.3.  Sheikh Abdul Razak  pula seorang ulama dan hafiz hadis. Seperti bapanya beliau terkenal kerana lurus dan benar. Mendalami ilmu kesufian dan terkenal di Baghdad.

5.4.  Sheikh Musa ialah seorang ulama yang ulung.  Beliau kemudian berpindah ke Damsyik dan meninggal dunia di sana.

6.  Pekerjaan Sheikh Abdul Qadir ialah memberi syarahan kepada orang ramai 3 kali seminggu. Disamping itu tiap-tiap hari pagi dan petang beliau mengajar tafsir, hadis dan hukum-hukum agama dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya. Selepas sembahyang zohor beliau menyampaikan petua mengenai soal-soal hukum. Tiap-tiap petang sebelum maghrib beliau membahagi-bahagikan roti kepada orang miskin. Selepas solat asar beliau duduk menanti waktu berbuka puasa kerana kebiasaannya ialah berpuasa setiap hari. Sebelum makan beliau akan memanggil jirannya untuk makan bersamanya.

MAKAM SHEIKH ABDUL QADIR DI BAGHDAD

ya untuk makan bersamanya.hyangialaherpindah nugerahkan anak yanag ramai.
7. Selepas solat isyak beliau berada dalam biliknya dan menggunakan sebahagian besar waktu malam untuk beribadat kepada Allah. Beliau telah meninggal dunia pada 11 Rabiul Akhir tahun 561 Hijrah bersamaan dengan tahun 1166 Masihi pada waktu maghrib. Ketika itu usia almarhum ialah 89 tahun. Beliau meninggal dunia di daerah Babul Azajwafat di Baghdad. Al-Fatihah untuk almarhum.  Pengaruh keilmuan almarhum sangat besar dalam sejarah Islam hingga kini.

8.   Antara kitab karangan almarhum ialah: Tafsir Al Jilani, al Ghunyah Li Thalibi Thariqil Haq, Futuhul Ghaib, Al-Fath ar-Rabbani, Jala' al-Khawathir, Sirr al-Asrar, Asror Al Asror, Malfuzhat, Khamsata Asyara Maktuban, Ar Rasael, Ad Diwaan, Sholawat wal Aurod, Yawaqitul Hikam, Jalaa al khotir, Amrul muhkam, Usul as Sabaa, dan Mukhtasar Ulumuddin.  

9.  Sama-sama kita fahami, hayati dan jika boleh mempraktikkan 6 peringatan dan pesanan mulia dari wali Allah Sheikh Abdul Qadir yang bertemakan 'bersangka baik (husnu zann)':

9.1. Jika engkau bertemu dengan SESEORANG, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkanlah dalam hatimu: “Mungkin kedudukannya disisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku.”

9.2.  Jika engkau bertemu dengan ANAK KECIL, maka ucapkanlah (dalam hatimu): “Anak ini belum melakukan maksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku.”

9.3.  Jika engkau bertemu dengan ORANG TUA, maka ucapkanlah (dalam hatimu): “Dia telah beribadat kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku.”

9.4. Jika engkau bertemu dengan seorang yang BERILMU, maka ucapkanlah (dalam hatimu): “Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan aku perolehi, mencapai kedudukan yang tidak pernah aku capai, mengetahui apa yang tidak aku ketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku.”

9.5. Jika engkau bertemu dengan seorang yang BODOH, maka ucapkanlah (dalam hatimu) : “Orang ini bermaksiat kepada  Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia mungkin lebih baik dariku.”

9.6. Jika engkau bertemu dengan orang KAFIR, maka katakanlah (dalam hatimu): “Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak.  Mungkin diakhir usianya dia memeluk Islam, beramal soleh dan menjadi lebih baik dariku. Boleh jadi juga diakhir usiaku aku menjadi kufur dan  berbuat perkara jahat”.

10. Alangkah indahnya pesanan seorang wali Allah yang telah mengabdikan hidupnya hanya kepada Allah SWT. Walaupun sudah ratusan tahun meninggalkan dunia, tetapi pesanannya sangat berkesan di jiwa kita.  Ia adalah pesanan yang sangat berguna bagi menjadikan diri kita seorang yang lebik baik dan dekat dengan Allah SWT.  

11.   Ringkasnya, akhlak bersangka baik ialah tidak memandang diri kita lebih baik, lebih bagus, lebih afdal dan lebih tinggi dari sesiapa pun kerana kita tidak mengetahui benar-benar apa yang telah tertulis di Loh Mahfuz Allah SWT.  Apakah kita akan mati dalam keadaan husnul khatimah ataupun su’ul khatimah tidak kita ketahui.

12.   Tidaklah rugi jika kita bersangka baik terhadap manusia lain daripada kita bersangka buruk yang boleh mendatangkan dosa.  Jika ternampak sesuatu yang boleh membawa kita bersangka  buruk kepada manusia lain maka carilah alasan-alasan untuk kita keluar dari sangkaan buruk tersebut agar kita dapat bersangka baik dengannya.

13.  Seseorang yang bersangka baik, dia akan tetap benar disisi Allah walaupun sangkaannya itu tersalah tetapi seseorang yang bersangka buruk akan tetap salah disisi Allah walaupun sangkaannya itu tepat dan benar.

14.   Hanya satu sahaja yang kita boleh bersangka buruk iaitu kepada nafsu kita sendiri. Carilah aib dan kekurangan diri sendiri.  Jika kita sibuk dengan keaiban kita, nescaya kita tidak akan ada masa untuk mengintai dan memperkatakan keaiban orang lain.

15.   Semoga Allah memberikan kita sifat mata lebah yang sentiasa melihat dan mencari kebaikan bunga di mana-mana dan bukannya mata lalat yang sentiasa memandang dan mencari kotoran dan najis di merata tempat.

“Aku tidak pernah melihat kezuhudan yang lebih sulit daripada kezuhudan terhadap kekuasaan. Kita banyak menemui orang-orang yang zuhud dalam masalah makanan, minuman, harta dan pakaian. Namun ketika diberikan kekuasaan kepadanya maka dia pun akan mempertahankan dan berani bermusuhan demi membelanya.” – Mutiara Kata Sheikh Sufyan Ats-Tsauri.

1 comment: