Wednesday, 25 November 2015

AMALAN-AMALAN UNTUK MEMPEROLEHI HUSNUL KHATIMAH.

1.  Sebaik-baik umur itu adalah umur panjang yang dipenuhi dengan amalan  soleh kepada Allah. Sebaliknya seburuk-buruk umur itu ialah umur yang panjang tetapi diisi dengan melakukan perbuatan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.  

2.  Ingatlah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasa kematian.  Allah menghidupkan kita kerana satu hari Dia akan mematikannya. Itu sudah menjadi sunnatullah. Berkaitan perkara ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Imran[Keluarga Imran](3:185) yang berbunyi:


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

3.  Husnul khatimah merupakan suatu keadaan di mana seseorang diberikan taufiq hidayah oleh Allah SWT sebelum datangnya kematian untuk dia meninggalkan segala perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah kepadanya.  Dia sempat bertaubat dan melakukan ketaatan serta berbuat kebajikan di jalan Allah dan akhirnya dia mati dalam keadaan sedemikian.

4.   Sekurang-kurangnya terdapat sembilan perkara perlu dilakukan oleh seorang mukmin supaya di akhir hayatnya mereka beroleh mati dalam keadaan husnul khatimah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

4.1.   Keadaan di akhir hayat seseorang bergantung kepada amalannya seharian semasa hidup. Justeru, penuhilah hari-hari kita ini dengan selalu beramal soleh dan mencari pahala yang berupa harta akhirat. Hati kita perlulah disuburkan dengan mengingati kematian supaya ia boleh menjadi motivasi untuk beramal soleh.

4.2.   Perbanyakkanlah amalan yang boleh memberikan kebaikan kepada orang ramai samada berdakwah untuk kembali kepada Allah, menyebarkan ilmu, menyeru kepada kasih sayang dan persaudaraan, menggalakkan amal soleh dan selalu berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

4.3.  Sentiasa bersedekah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Allah dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).” (Hadis Riwayat Termizi)

4.4.   Tidak meminta mati kecuali kerana telah terjadi fitnah yang mengancam keselamatan diri dan agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya, kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah dia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.5.   Mengamalkan membaca doa disetiap akhir solat fardu. Di antara doa-doa yang sesuai diamalkan adalah :

 هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh." (Surah Asy-Sy’ara, ayat 83)

اللهم اجعل خير عمري أخره و خير عملي خواتيمه و خير أيامي يوم لقائك

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada hujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan (jadikanlah) sebaik-baik hariku iaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu (di hari kiamat).” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

اللهم اختم لنا بحسـن الخاتمة ولا تختم علينا بسـوء الخاتمة

Maksudnya: “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khatimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khatimah (akhir yang buruk).”

4.6.   Ajal adalah suatu misteri. Ia adalah rahsia bagi Allah SWT. Ajal boleh datang menjemput kita secepat kilat.  Sebaliknya kadang-kadang ia tidak datang-datang walaupun telah dinanti-nantikan begitu lama. Namun jika ajal telah datang, ia tidak boleh ditangguh lagi  walaupun sesaat. Buatlah persiapan sebaik mungkin sebelum berpisahnya roh dari badan. Persiapan sebelum kematian adalah dengan sentiasa beristighfar, sentiasa minta maaf sesama manusia, selesaikan semua hutang-hutang, jaga solat fardu berjemaah dimasjid, sedekah jariah, sebarkan ilmu yang bermanfaat dan melahirkan anak-anak yang soleh.

4.7.   Kerap menyuburkan perasaan takut dan harap, iaitu takut tidak diampuni dosa-dosa kita dan berharap bahawa Allah SWT itu Maha Pemurah dan Maha Pengampun yang akan selalu memberikan rahmat kepada orang-orang yang dikehendakiNya.

4.8.   Jangan sekali-kali mengakhiri hidup dengan jalan pintas hanya kerana adanya tekanan hidup yang berat. Orang yang mengakhiri hidupnya dengan cara bunuh diri tidak akan diterima amalnya dan hidupnya akan berakhir dalam neraka. Allah SWT telah mengingatkan manusia agar jangan berputus asa dari rahmatNya.  Firman Allah itu ialah seperti dalam Surah Yusuf (12:87) yang berbunyi:


Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir".

4.9.   Ketika sudah ada tanda-tanda akan dijemput oleh Allah SWT, perbanyakkanlah membaca kalimah syahadah.  Rasulullah SAW pernah menyatakan siapa yang ucapan terakhirnya adalah “Laa Ilaaha illallah” maka orang itu berpeluang untuk masuk syurga.

5.    Oleh kerana kematian itu boleh datang kepada kita pada bila-bila masa maka berusahalah untuk memastikan kita meninggalkan dunia yang fana ini dalam keadaan husnul khatimah. Semoga kita bakal memperolehi syurga Allah di akhirat nanti.

"Setiap orang di dunia ini adalah seperti seorang tetamu dan hartanya adalah pinjaman. Tetamu ini pasti akan pergi samada cepat atau lambat dan pinjaman itu haruslah dikembalikan kepada tuannya". ~ Mutiara Kata Ibnu Mas’ud

No comments:

Post a Comment