LAKARAN WAJAH IMAM AL-GHAZALI. |
“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat
kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka
sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan
(ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” Surah Luqman(31:22)
1. Siapakah Imam Al-Ghazali ?.
Nama penuh beliau ialah Muhammad Bin Muhammad Bin Muhammad Abu Hamid
Al-Ghazali. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1058 di Tus, Khurasan Iran. Ayah beliau
ialah ahli sufi yang soleh, sentiasa menjaga hati. Sebelum ayahnya meninggal dunia
dia telah berwasiat kepada temannya yang soleh dan juga ahli sufi untuk menjaga
anaknya yang bernama Abu Hamid Al-Ghazali sama seperti saudaranya yang bernama
Ahmad Al-Ghazali.
2. Beliau mulai menuntut ilmu fiqah sejak masa kecilnya dengan
Al-Imam Ahmad Bin Muhammad Ar-Rodhakoni di kota Baghdad. Kemudiannya beliau melanjutkan pengajian ke Jurjan dan belajar dengan Al-Imam
Abi Nashr Al-isma'ili. Berikutnya Al-Ghazali melanjutkan pengajian ke Kota
Naysabur untuk menimba ilmu daripada Al-Imam Al-Haromain, Mufti Kota Mekkah dan Madinah.
3. Antara kitab karangan beliau ialah Ihya' Ulumuddin, Al-Munqid
Mina Ad-Dholal, Al-Iqtisod Fi Al-I'tiqod, Mizan Al-Amal, Fadhoih Al-Bathiniyah,
Al-Qistos Al-Mustaqim, Faishol At-Tafarruq Bayna Al-islam Wa Az-Zindiqoh,
Tahafut Al-Falasifah, Mi'yar Al-'ilm, Al-Maqshod Al-Asna Fi Syarh Asma'ul
husna, Al-Bhasith, Al-Wasith, Al-Wajiz, Al-Mustashfa, Al-Mankhul, Kimiya
As-Sa'adah, Jawahir Al-Qur'an, Yaqut
Atta'wil Fi tafsir Attanzil, Minhaj Al-'Abidin, Al-Arba'in Fi usuluddin,
Maskatul Anwar, Ad-duror Al-fakhiroh Fi Kasfi 'ulum Al-akhiroh, 'Iljam Al-Awam
'an 'ilmi Al-Kalam dan Bidayah Al-Hidayah.
6. Imam Al-Ghazali pernah berpesan agar melakukan 4 perkara
berikut bagi mencantikkan akhlak kita:
6.1. Bermuamalat atau berurusanlah dengan Allah
sebagaimana kamu suka orang bawahanmu berurusan denganmu. Kamu tidak berasa
bingung atau marah dengannya. Apa yang kamu tidak suka dilakukan oleh orang
bawahanmu maka Allah juga tidak suka perlakuan sedemikian kerana Allah itu
adalah Tuhanmu yang maha Tinggi dan Mulia.
6.2. Jangan mengumpul harta dunia lebih daripada keperluanmu untuk tempoh setahun
kerana Rasulullah SAW sendiri hanya menyediakan bekalan terhadap
isteri-isteri baginda untuk tempoh sehari setengah sahaja.
6.3.
Sekiranya kamu hendak mempelajari sesuatu maka pilihlah ilmu yang dapat
memperbaiki hati dan menghidupkan jiwamu. Sekiranya kamu tahu umurmu hanya
tinggal seminggu sahaja lagi nescaya kamu hanya mempelajari ilmu untuk
mengawasi hatimu dan berusaha melepaskan diri daripada belenggu dunia.
6.4. Setiap kali kamu bekerja dengan orang lain
maka perbuatlah sebagaimana kamu mahu diperbuat ke atas dirimu. Ini kerana tidak
sempurna keimanan seseorang itu selagi dia tidak suka orang lain memperolehi
sesuatu yang dia sendiri menyukainya.
7. Sebaliknya pula beliau berpesan agar meninggalkan 4 perkara berikut
bagi mengelokkan akhlak kita :
7.1. Elakkanlah dirimu daripada menjadi pendakwah
yang mengajak kepada kebaikan sekiranya kamu sendiri belum dapat melaksanakannya.
7.2. Jangan menerima sebarang pemberian daripada
golongan pembesar walaupun kamu tahu pemberian itu adalah daripada sumber yang
halal kerana dibimbangi kamu akan terhutang budi sehingga takut untuk menegur
kesalahannya.
7.3. Seboleh-bolehnya janganlah kamu suka berbahas
dengan seseorang mengenai sesuatu perkara kerana ia lebih banyak mendatangkan
keburukan berbanding kebaikan. Ia adalah punca akhlak buruk seperti riya’,
hasad dengki, permusuhan, bangga diri dan sebagainya. Jika terpaksa juga
berbahas maka kamu mesti mempunyai 2 tanda pada niat dalam hatimu iaitu :
7.3.1.
Kamu mengakui sesuatu kebenaran tidak kira ia berada di sebelah kamu ataupun
pihak lain.
7.3.2.
Kamu lebih suka mencari kelemahan dirimu daripada mencari kelemahan orang lain.
7.4. Jangan bergaul dengan pemimpin atau pembesar
yang zalim malah jika boleh jangan berjumpa dengan mereka kerana lebih banyak
padahnya daripada faedah
“Semua manusia itu mati, kecuali yang berilmu. Semua yang berilmu itu tidur kecuali yang beramal. Semua yang beramal itu tertipu kecuali yang ikhlas: – Mutiara
Kata Imam Al-Ghazali Rahimahullah
No comments:
Post a Comment