1. Dalam menjalani kehidupan seharian ini manusia tidak dapat lari
dari menghadapi pelbagai bentuk dugaan ataupun musibah yang menimpa. Orang yang beriman perlu yakin bahawa musibah
itu tidak lain melainkan hanyalah ujian dari Allah SWT untuk mengetahui tahap
keimanan kita kepadaNya. Lagi tinggi iman seseorang maka lagi tinggilah pula
ujian dari Allah akan diterimanya. Orang yang beriman akan sentiasa rela dan
redha dengan ketentuan qada’ dan qadar Allah SWT kepadanya.
2. Ibn Qayyim dalam kitabnya yang berjudul “Zad Al-Ma'ad” menjelaskan bahawa musibah yang berlaku kepada
seseorang boleh diringankan dengan tujuh cara berikut:
2.1. SENTIASA MENGIKUT PETUNJUK ALLAH
2.1.1.
Dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:16)
Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang
yang mengikuti keredaanNya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula)
Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang
benderang dengan izinNya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.”
2.1.2.
Al-Quran adalah merupakan sumber dan rujukan utama ajaran Islam. Di dalamnya
terkandung hidayah dan petunjuk bagi setiap orang yang beriman kepada Allah
dalam menjalani kehidupan seharian agar selamat dan memperoleh kebahagian di
dunia dan juga akhirat. Al-Quran boleh mengeluarkan manusia dari dalam kegelapan
seperti kekafiran, kesesatan dan kebodohan menuju cahaya Allah SWT yang berupa
keimanan, keislaman dan kebenaran dalam beragama.
2.2. IKHLASKAN IBADAH HANYA KERANA ALLAH SWT.
2.2.1.
Setiap ibadat yang dikerjakan biarlah hanya diniatkan semata-mata kepada Allah.
Semata-kerana mengharapkan pahala dariNya. Ikhlas selalunya lahir dari hati yang
luhur yang mengharapkan hanya redha
Allah S.W.T. Inilah kunci kesempurnaan dan kejayaan segala amalan yang
dikerjakan. Allah hanya akan menerima amalan yang dilakukan dengan ikhlas.
Dalam konteks ikhlas ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-An’am[Binatang Ternakan](6:162) yang
berbunyi:
“Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku,
ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”.
2.2.2.
Ingatlah apa yang wajib dipersembahkan kepada Allah ialah segala ibadat dan
amalan yang suci bersih dari segala rupa syirik atau sifat-sifat mazmumah.
2.3. BERTAUBAT KERANA DOSA-DOSA KITA.
2.3.1. Sebagai seorang manusia, tidak ada
seorang pun yang tidak pernah membuat dosa.
Bezanya hanyalah samada dosa besar ataupun kecil. Justeru sebagai
seorang hamba yang berdosa sewajarnya kita sentiasa bertaubat kepada Allah
kerana dosa-dosa yang dilakukan. Jangan
kita biarkan dosa kita semakin bertambah banyak kerana ia memungkinkan kita
payah untuk bertaubat kepada Allah.
2.3.2.
Allah SWT amat menyedari kelemahan hamba-hambanya. Oleh kerana itu Allah sentiasa bersedia
menerima taubat nasuha dari kita. Dalam
Al-Quran Allah telah berfirman dalam beberapa tempat untuk mengingatkan manusia
supaya bertaubat kepadaNya. Antaranya ialah:
(a) Dalam
Surah At-Tahrim[Pengharaman](66:8) yang berbunyi:
“Hai orang-orang yang beriman,
bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang sebenar-benarnya).
Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke
dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah
tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya
mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka
mengatakan: "Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan
ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."
(b)
Dalam Surah Az-Zumar [Rombongan](39:53)
yang berbunyi:
Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang
malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari
rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya
Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(39:54)
“Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan
berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak
dapat ditolong (lagi)”.
(c) Dalam
Surah Al-‘Araf [Tempat Tinggi] (7:153)
berbunyi:
“Orang-orang yang mengerjakan kejahatan,
kemudian bertaubat sesudah itu dan beriman; sesungguhnya Tuhan kamu sesudah
taubat yang disertai dengan iman itu adalah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang”.
2.3.3. Antara sabda Rasulullah tentang bertaubat
ini ialah:
(a) “Barangsiapa bertaubat sebelum matahari
terbit dari barat nescaya Allah menerima taubatnya.” (Hadis Riwayat
Muslim).
(b) “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada
Allah dan memohonlah ampun kepadaNya, sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari
sebanyak 100 kali.” (Hadis Riwayat Muslim).
(c) “Sesungguhnya
Allah membentangkan tanganNya pada malam hari agar bertaubat orang yang berbuat
jahat di siang hari dan Dia membentangkan tanganNya pada siang hari agar
bertaubat orang yang berbuat jahat di malam hari, sehingga matahari terbit dari
barat (Kiamat).” (Hadis Riwayat Muslim).
2.4.1.
Sifat orang-orang yang beriman itu ialah lidah mereka sentiasa basah berzikir kepada
Allah SWT. Dengan berzikir hati kita
akan menjadi tenang dan damai kerana masa itu kita sedang berhubung terus
dengan Allah. Bagi orang seperti ini Allah SWT berfirman dalam Surah Al Imran[Keluarga Imran](3:191) yang
berbunyi:
“(Yaitu) orang-orang yang mengingat Allah
sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan
tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami,
tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka
peliharalah kami dari siksa neraka.”
2.5. BERUSAHA MENCARI ILMU BAGI MENAMBAH PAHALA.
2.5.1.
Ilmu agama perlu dicari samada di masjid ataupun surau. Jadikanlah majlis
tazkirah agama sebagai tempat yang sentiasa dikunjungi. Berusahalah untuk
mendengar dan mendapatkan ilmu dari guru-guru agama yang berilmu dan arif dalam
bidang masing-masing.
2.5.2. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa menuntut ilmu bererti mereka
telah menuntut jalan ke syurga”.(Hadis Riwayat Muslim)
2.5.3. Imam Asy-Syatibi di dalam kitabnya
berjudul “Al Muwafaqot” berkata : “Ilmu yang muktabar menurut syarak adalah
ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya mengikuti
hawa nafsunya. Yang membawa pemiliknya mematuhi peraturan-peraturan dan
perintah dari Allah SWT”.
2.6. MELAKUKAN MUJAHADAH
2.6.1.
Dengan bermujahadah seseorang mampu mengikis sifat-sifat negatif yang ada pada
dirinya. Bermujahadahlah untuk melihat kelemahan-kelemahan yang ada dalam diri
kita, lebih-lebih lagi kelemahan itu berupa penyakit hati dan berusaha
mengubatinya. Mujahadah bermaksud memerangi hawa nafsu yang mengatasi segala
kelemahan diri untuk mencapai kesempurnaan keredaan Allah SWT.
2.6.2.
Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Pada
umumnya apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh kita. Hanya dengan iman
sahaja seseorang itu mampu melawan hawa nafsunya. Ramai orang yang tidak mahu berbuat
perkara mungkar tetapi tidak mampu kerana sentiasa mendapat bisikan syaitan.
Ini kerana syaitan tidak pernah
tidur. Begitu juga dengan nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti letih.
2.7. BERBUAT
BAIK KEPADA SEMUA MAKHLUK ALLAH.
2.7.1. Seorang mukmin sejati akan berbuat
baik kepada semua makhluk ciptaan Allah SWT di muka bumi ini, tidak kira sama
ada manusia, haiwan ataupun tumbuh-tumbuhan. Keutamaan berbuat baik itu ialah kepada
kedua ibu bapa, saudara mara, jiran tetangga, anak yatim dan fakir-miskin.
2.7.2.
Berkaitan dengan berbuat baik ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah An-Nisa [Kaum Perempuan](4:114) yang
berbunyi:
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan
bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh
(manusia) memberi sedekah, atau berbuat amal makruf, atau mengadakan perdamaian
di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mencari
keredhaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar”.
3. Allah SWT akan meringankan segala bebanan dan penderitaan kita
sekiranya hati kita sentiasa berhubung denganNya, berdoa, bermunajat dan
sentiasa mengharapkan pertolonganNya. Musibah yang menimpa kita juga akan
diringankan olehNya. Justeru itu marilah kita sama-sama mengamalkan tujuh
perkara yang tersebut di atas. Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang
sentiasa mengharap dan bergantung kepada kekuasaanNya.
“Perkataan itu
seperti ubat, kalau sedikit bercakap memberi manfaat, tetapi terlalu banyak
bercakap nescaya boleh membunuh,” – Mutiara Kata Amru Al-‘As
No comments:
Post a Comment