“Dijadikan
indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa yang diingini, iaitu:
wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas dan perak, kuda
pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di
dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga).”
{Petikan dari Surah Ali Imran[Keluarga
Imran](3:14)}
1. Posting kali ini adalah bahagian terakhir peringatan dari Allah
kepada manusia tentang tanggung jawab kepada harta yang diamanahkan oleh Allah
kepada manusia. Di bawah ini
disenaraikan enam lagi peringatan dari Allah melalui firman-firmanNya seperti di bawah:
1.1. MEMBERI
PINJAMAN KEPADA ALLAH
Allah SWT
bertanya kita manusia, siapakah yang sanggup memberi pinjaman hartanya untuk Allah.
Ia bermaksud siapakah yang sanggup menginfaqkan hartanya di jalan Allah kerana
Allah ingin membayar harganya. Firman
Allah itu ialah dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:245) yang
berbunyi:
“Siapakah yang mahu memberi pinjaman
kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka
Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang
banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepadaNyalah kamu akan
dikembalikan.”
1.2. HARTA
YANG BERKEMBANG
Allah
sangat menggalakkan manusia bersedekah dan menginfaqkan hartanya di jalanNya. Allah
menjanjikan balasan yang amat besar. Harta yang diinfaqkan itu berkembang
menjadi menjadi lebih banyak. Dalilnya dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:261) Allah berfirman yang berbunyi:
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan
oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan
sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji.
Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha
Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.”
(2:265)
“Dan perumpamaan orang-orang yang
membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa
mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh
hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali ganda. Jika hujan
lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis pun memadai. Dan Allah Maha
Melihat apa yang kamu kerjakan.”
1.3. LARANGAN
MEMAKAN RIBA
1.3.1.
Riba adalah termasuk dalam salah satu dari tujuh dosa besar. Sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud: ”Jauhilah diri kamu
daripada 7 dosa yang boleh membinasakan."
Baginda ditanya oleh sahabatnya: Apakah dosa itu wahai Rasulullah?. Baginda
menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir,
membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan jalan yang benar,
memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan
menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (Hadis Riwayat Muslim).
1.3.2.
Khutbah terakhir Rasulullah telah disampaikan oleh baginda pada Hari Jumaat, 9
Zulhijjah Tahun 10 Hijrah (bersamaan dengan 6 Mac Tahun 632 Masihi) di Lembah
Uranah, Gunung Arafah, iaitu semasa mengerjakan ibadat haji wada' (hajjatul
wada') atau haji perpisahan. Dari 7 dosa besar di atas hanya riba sahaja yang
telah disebut oleh Rasulullah dalam khutbah terakhirnya itu. Ia menunjukkan betapa pentingnya mengelakkan
diri dari riba. Rasulullah menyedari
bahawa akhir zaman nanti ramai orang Islam akan rosak dan binasa kerana riba.
Hanya kerana ingin cepat kaya.
{Adakah teringin untuk mengetahui lebih lanjut kandungan khutbah terakhir Rasulullah dan sedikit analisis tentangnya?. Jika ya, sila layari artikel bertajuk "Apa Yang Tersirat Disebalik Khutbah Terakhir Rasulullah SAW" yang diterbitkan pada 5.11.2014.}
{Adakah teringin untuk mengetahui lebih lanjut kandungan khutbah terakhir Rasulullah dan sedikit analisis tentangnya?. Jika ya, sila layari artikel bertajuk "Apa Yang Tersirat Disebalik Khutbah Terakhir Rasulullah SAW" yang diterbitkan pada 5.11.2014.}
1.3.3.
Lebih penting lagi berkaitan larangan dan amaran riba ini, Allah SWT telah
berfirman dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:279)
yang berbunyi:
“Maka jika kamu tidak mengerjakan
(meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan RasulNya akan
memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari mengamalkan riba), maka bagimu pokok
hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”
1.4. AWASI
MULUT SETELAH MENGINFAQ HARTA
1.4.1.
Ramai orang yang sia-sia bersedekah kerana tidak mendapat apa-apa pahala dari
Allah. Ini kerana mereka gagal menjaga mulut. Menceritakan infaq kita kepada orang lain. Alangkah ruginya, harta habis pahalanya
tiada.
1.4.2. Berkaitan dengan perkara ini Allah
SWT telah memberi amaran dalam firmanNya dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:262) yang berbunyi:
“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di
jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu
dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si
penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran
terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
(2:264)
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah
kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti
(perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak
kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka
perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian
batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah).
Mereka tidak mendapat sesuatu pun dari apa yang mereka kerjakan; dan Allah
tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.”
1.5. JANGAN
BAKHIL DENGAN HARTA
Perlu
diyakini sungguh-sungguh bahawa harta yang kita miliki itu adalah pemberian dan
kurnia dari Allah SWT. Ia hanyalah ehsan dari Allah sahaja. Sesungguhnya harta
dunia ini tidak ada sebarang harga dan nilai di sisi Allah SWT walaupun seberat
sayap nyamuk. Justeru, jangan
sekali-kali kita bakhil untuk membelanjakan pemberian Allah ini untuk jalanNya.
Allah amat memarahi kepada manusia yang bakhil. Hayatilah firman Allah dalam
surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:180)
yang berbunyi:
“Sekali-kali janganlah orang-orang yang
bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaNya menyangka,
bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk
bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya
di hari kiamat. Dan kepunyaan Allahlah segala warisan (yang ada) di langit dan
di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
1.6. ORANG
MISKIN IALAH UJIAN BAGI ORANG KAYA
Jika
diandaikan tidak ada orang miskin bukankah terlepas peluang orang kaya untuk
mendapat pahala kerana membantu dan bersedekah kepada orang miskin?. Oleh itu
bukankah orang miskin itu menjadi salah satu dari sumber kekayaan orang kaya di
akhirat nanti?. Bagi orang kaya pula sudah tentu orang miskin itu akan menjadi ujian
keimanan kepada mereka samada perlu
bersedekah atau tidak. Allah akan menilai sejauh mana mereka sanggup bersedekah
kepada fakir miskin dengan harta pemberianNya. Lihat firman Allah SWT dalam
surah Al-An’am [Binatang Ternakan](6:53)
yang berbunyi:
“Dan demikianlah telah Kami uji sebahagian
mereka (orang-orang kaya) dengan sebahagian mereka (orang-orang miskin), supaya
(orang-orang yang kaya itu) berkata: “Orang-orang semacam inikah di antara kita
yang diberi anugerah Allah kepada mereka?” (Allah berfirman): “Tidakkah Allah
lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur (kepadaNya)?.”
2. Rumusan dari 3 siri posting berkaitan dengan peringatan dari
Allah tentang harta ialah:
2.1. Islam memang tidak melarang umatnya mencari
harta. Tapi pastikan dahulu sumbernya
halal dan dipergunakan pula harta itu untuk jalan yang diperintahkan oleh
Allah.
2.2. Sentiasalah beringat Rasulullah pernah
bersabda bahawa ada tiga golongan manusia yang lama hitungan hisabnya di Padang
Mahsyar, iaitu (1) orang yang mempunyai ramai anak, (2) orang yang mempunyai
banyak ilmu dan (3) orang yang mempunyai banyak harta. Padang Mahsyar ialah
tempat penuh keazaban. Manusia tidak
akan sama sekali sanggup berada lama di sana.
Matahari hanya beberapa hasta di atas kepala kita.
2.3. Oleh kerana itulah kita akan mendapati orang
yang benar-benar alim dan beriman kepada Allah cuba mengelakkan dari memiliki
harta yang banyak walaupun semua halal.
Mereka menyedari tanggungjawab terhadap harta dihadapan Allah nanti di
Padang Mahsyar. Mereka sangat menyakini adanya azab di Padang Mahsyar dan
mengelak diri dari azab tersebut.
2.4. Hidup yang serba sederhana dan tidak
bermegah-megah dengan harta dunia yang sementara ialah salah satu dari sunnah Rasulullah
SAW. Mereka yang benar-benar kasihkan Rasulullah pastinya akan cuba mengikuti
jejak langkah kehidupan Rasulullah.
2.5. Sedarlah, kehidupan sebenar manusia yang
selama-lamanya ialah di negeri akhirat. Dunia
yang fana ini ialah tempat tinggal sementara manusia untuk mencari bekalan
akhirat. Jangan sama sekali terpedaya dengan dunia yang fana ini. Ingatlah
firman Allah SWT yang maha benar dalam surah Al-Hadid[Besi](57:20) yang berbunyi:
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan)
kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata)
permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga
(bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan,
kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda
dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang
(menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan
tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke
suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning;
akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di
akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan
kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah
(disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala
kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi
orang-orang yang terpedaya.”
“Peliharalah
iman kamu dengan memperbanyakkan sedekah, bentenglah hartamu dengan
mengeluarkan zakat dan tolaklah gelombang bencana bala dengan sentiasa berdoa
kepada Allah” – Mutiara Kata Saidina Ali bin Abi Thalib
No comments:
Post a Comment