1. Posting kali ini akan membicarakan tentang kewajiban orang
Islam untuk bersyukur kepada nikmat dan pemberian dari Allah SWT.
2. Dalam Surah Al-Baqarah[Lembu
Betina](2:152) Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:
“Oleh
itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya
Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah
kamu kufur (akan nikmatKu)”.
3. Perkataan syukur berasal dari bahasa Arab, iaitu syukuran yang bererti berterima kasih dan mengingati
segala nikmat pemberiaan Allah SWT. Syukur ialah salah satu sifat yang baik dan
ia menunjukkan rasa hormat serta memuliakan atas segala nikmatNya, samada ia
tersimpan dihati, dizahirkan secara lisan ataupun melalui perbuatan.
4. Perkataan “syukur” dan yang seakan dengannya disebutkan
sebanyak 75 kali dalam Al-Quran. Apa yang menariknya ialah Al-Quran juga
menyebutkan sebanyak 75 kali perkataan
“bala” (musibah). Sebahagian mufassirin menafsirkan bahawa Allah SWT ingin mengatakan
bahawa adanya musibah itu kerana kurangnya manusia bersyukur kepadaNya. Sesiapa yang tidak bersyukur sebenarnya
mereka telah kufur kepada Allah kerana lawan syukur ialah kufur.
5. Cara bersyukur yang paling mudah ialah dengan mengucapkan “Alhamdulillah”. Walaupun perbuatan atau
amalan untuk bersyukur itu sangat mudah tetapi ia menjadi perkara yang sangat
sukar dilakukan orang Islam. Sukarnya untuk manusia bersyukur ini telah
difirmankan oleh Allah SWY dalam Surah Saba[Negeri
Saba](34:13) yang berbunyi:
“Para
jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang
tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan
periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah hai keluarga Daud untuk
bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari
hamba-hambaKu yang berterima kasih”.
6. Sukarnya manusia bersyukur mungkin kerana tidak mengetahui
bahawa Allah telah berjanji untuk menambahkan nikmatnya kepada orang yang
bersyukur. Dalam Surah Ibrahim (14:7) Allah SWT telah
berfirman yang berbunyi:
“Dan
(ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu
bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu
mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih".
7. Apakah janji Allah ini juga kita tidak yakin. Janganlah kerana nikmat yang dinantikan itu
tidak terus diperolehi selepas bersyukur menyebabkan kita enggan bersyukur.
Banyak nikmat yang Allah janjikan itu hanya dapat dirasai setelah lama kita bersyukur.
Yang perlu diyakini ialah sesungguhnya Allah tidak pernah menyalahi
janjiNya. Nikmat yang Allah janjikan itu tdak semestinya dalam bentuk pertambahan harta kekayaan. Ia boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti kejayaan anak-anak dalam pelajaran, kesihatan tubuh badan, ketenangan jiwa, anak cucu yang beriman kepada Allah, mendapat kawan-kawan dan jiran yang baik, tidak terkena bala bencana dan sebagainya.
8. Sifat bersyukur yang merupakah salah satu sifat mahmudah wajib dimiliki
setiap orang Islam. Orang yang tidak bersyukur kepada Allah ialah orang yang
kufur kepada nikmatNya kerana syukur lawannya kufur. Orang yang tidak bersyukur
sudah boleh dianggap orang yang tidak beradab kepada Allah. Allah mendidik manusia
supaya bersyukur kepada nikmat pemberianNya seperti firmanNya dalam Surah Al-Ahqaf [Bukit Pasir](46:15) yang berbunyi:
“Dan
Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan
menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh
menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai
ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur
empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah
daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan
kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau
redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat
keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari
orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.
9. Kita lihat pula apakah sabda-sabda Rasulullah SAW tentang
kewajipan bersyukur ini:
9.1. “Allah
berfirman dalam hadits qudsi-Nya: “wahai anak Adam, bahawa selama engkau
mengingat Aku, bererti engkau mensyukuri Aku dan apabila engkau melupakan Aku,
bererti engkau telah mendurhakai Aku”. (Hadis Riwayat Tabrani)
9.2. “Barang
siapa yang tidak bersyukur kepada manusia, bererti dia tidak bersyukur kepada
Allah”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi).
9.3. “Dua
hal apabila dimiliki seseorang dia dicatat Allah sebagai orang yang bersyukur dan
sabar. Dalam urusan agama ( ilmu dan ibadah) dia melihat kepada yang lebih
tinggi lalu meniru dan mencontohinya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada
yang lebih bawah, lalu bersyukur kepada Allah bahawa dia masih diberikan
kelebihan.(Hadis Riwayat Termizi)
9.4. “Barang
siapa diuji lalu dia bersabar, mendapat kurnia lalu bersyukur, dizalimi lalu memaafkan
dan menzalimi lalu beristigfar, maka bagi mereka adalah keselamatan dan hidayah.”
(Hadis Riwayat Al Baihaqi)
10. Bersyukur kepada Allah SWT tidak sahaja kerana mendapat nikmat
dan anugerah dariNya. Kita perlu
bersyukur kerana Allah telah mencipta kita menjadi manusia dengan diberikan
sifat-sifat dan anggota tubuh badan yang sempurna. Juga kerana Allah telah menyediakan
semua kemudahan untuk kita meneruskan kehidupan di dunia ini. Lihat dan
nilailah sahaja apabila kita ke pasar untuk membeli ikan. Berpuluh-puluh jenis ikan yang dijual. Berbentuk bulat, leper, panjang, pendek,
berwarna putih, kemerahan, hitam dan pelbagai lagi. Harga murah dan mahal. Siapakah yang membesarkan ikan-ikan ini
dilaut. Adakah orang yang bekerja
memberi makan ikan di laut. Jawapnya
tidak. Semua ikan lahir dan dibesarkan
oleh Allah SWT. Manusia hanya perlu sediakan perahu atau kapal dan pukat untuk memunggah
hasil laut secara percuma. Betapa besarnya nikmat dari Allah.
11. Perhatikan pula sayuran di pasar.
Pelbagai jenis sayuran yang boleh diperolehi. Semuanya untuk faedah manusia. Siapa yang
mencipta sayur-sayuran ini. Apakah ada saintis
yang pernah berjaya mencipta sayuran?. Tidak ada. Semuanya anugerah Allah. Manusia hanya
menanam sayuran yang benihnya dicipta oleh Allah.
Pelbagai jenis buah-buahan pula yang Allah sediakan untuk makanan dan
menjadi rezeki manusia. Berlainan musim
berlainan buahnya. Siapakah yang
menentukan musim ini?. Jika kita perhatikan di negara kita, cuacanya
hampir sama sahaja sepanjang tahun tetapi musim buah-buahan adalah berbeza. Ada
musim durian, musim duku langsat, musim rambutan dan sebagainya. Siapakah yang
mengatur musim ini. Bukankah Allah SWT yang maha pemurah lagi maha penyayang
untuk hamba-hambaNya. Justeru kita tidak boleh menjadi orang yang tidak bersyukur kepadaNya.
12. Sesungguhya kita tidak akan mampu untuk menghitung nikmat yang
Allah berikan kepada kita. Kenapa kita
tidak mahu bersyukur kepadaNya?.
"Seseorang tidak akan mencapai darjat kesolehan, kecuali
melalui enam rintangan: menutup pintu kemuliaan dan
membuka pintu kehinaan, menutup pintu nikmat dan membuka pintu kesukaran,
menutup pintu istirehat dan membuka pintu perjuangan, menutup pintu tidur dan
membuka pintu jaga, menutup pintu kekayaan dan membuka pintu kemiskinan,
menutup pintu harapan dan membuka pintu bersiap menghadapi maut" - Mutiara kata dari Ibrahim bin Adham