Thursday, 23 April 2015

AIR KENCING BAYI LELAKI DAN PEREMPUAN: KEBENARAN SABDA RASULULLAH SAW


1.   Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

"Air kencing bayi lelaki dibersihkan dengan disiram / dipercikkan air dan air kencing bayi perempuan hendaklah dicuci."(Hadis Riwayat Ahmad). Qatadah Rahimahullah berkata: Ini kalau keduanya belum memakan makanan, sedangkan jika sudah memakan makanan maka dicuci air kencing dari keduanya.


2.  Sabda Rasulullah SAW ini sudah tentu mengundang pertanyaan besar.  Kenapakah cara membersihkan kedua-dua air kencing ini berbeza?. Kenapa cara menyuci air kencing bayi lelaki lebih mudah dari bayi perempuan?. Apakah perbezaan atau rahsia disebalik air kencing keduanya. Selama ini orang berpendapat perbezaan ini wujud bagi memudahkan ibu bapa memberikan kasih sayang yang lebih kepada bayi lelaki supaya bayi lelaki lebih rapat dengan ahli keluarganya. Kini kebenaran sabda Rasulullah ini telah ditemui. Satu penemuan dari hasil kajian saintifik moden telah mendedahkan rahsia di sebalik perbezaan antara air kencing bayi lelaki dan bayi perempuan. Kajian tersebut telah dilakukan oleh Ashil Muhammad Ali dan Ahmad Muhammad Shalih dari Universiti Duhok, Iraq. 


University of Duhok (UoD)
                                                          UNIVERSITI DUHOK, IRAQ


3.Kajian tersebut menggunakan kaedah yang dipraktikkan oleh Dr. Hans Christian Joachim Gram yang ditemui dalam tahun 1884. Dr. Gram (13.9.1853 hingga 14.11.1938)  ialah pakar kaji bakteria dari Denmark. Kaedahnya dengan berpandukan kepada perubahan warna untuk menentukan kewujudan bakteria.  Warna ungu menunjukkan bakteria gram positif dan warna merah pula menunjukkan gram negatif. 
 
4.  Fokus kajian Ashil Muhammad Ali dan Ahmad Muhammad Shalih ialah ke atas peratusan kewujudan bakteria dalam air kencing bayi.  Bayi-bayi ini terdiri dari yang baru lahir hingga berumur lebih 3 bulan dan mereka hanya menyusu susu ibu sahaja. Mereka mengumpulkan sampel air kencing bayi secara rawak yang berjumlah 73 bayi (35 perempuan dan 38 lelaki).  Kemudiannya air kencing ini di kelompokkan dalam empat kumpulan umur, iaitu (i)  umur di bawah satu bulan, (ii) umur satu bulan hingga dua bulan, (iii) umur dari dua bulan hingga tiga bulan dan (iv) dan umur lebih daripada tiga bulan.

5. Hasil kajian mereka adalah seperti berikut:

5.1.   Pertama: Pada kumpulan usia baru lahir  hingga 1 bulan, peratus kewujudan bakteria dalam air kencing bayi perempuan ialah 95.44% lebih banyak berbanding air kencing bayi lelaki. Jumlah bakteria di bidang mikroskopik untuk air kencing bayi perempuan mencapai 41.9 sedangkan pada bidang yang sama untuk bayi lelaki hanya berjumlah 2 saja.

5.2.   Kedua: Pada kumpulan umur dari 1 bulan hingga 2 bulan didapati peratus kewujudan bakteria dalam air kencing bayi perempuan ialah 91.48% lebih banyak berbanding  air kencing bayi lelaki. Jumlah bakteria di bidang mikroskopik untuk air kencing bayi perempuan mencapai 24.1 sementara jumlah dalam air kencing bayi laki-laki hanya 2.25.

5.3.   Ketiga: Pada kumpulan umur 2 hingga 3 bulan pula didapati peratusan kewujudan bakteria dalam air kencing bayi perempuan ialah 93.69% lebih banyak berbanding pada air kencing bayi lelaki. Jumlah bakteria di bidang mikroskopik untuk air kencing bayi perempuan mencapai 24.1 sementara jumlah pada bayi lelaki hanya 1.6.

5.4.   Keempat: Pada kumpulan usia lebih dari 3 bulan, peratusan bakteria dalam air kencing bayi perempuan ialah 69% lebih banyak berbanding pada air kencing bayi lelaki. Jumlah bakteria di bidang mikroskopik untuk air kencing bayi perempuan 13.9 sementara dalam air kencing bayi lelaki jumlahnya hanya 6.8.

6.   Najis terdiri dari tiga kategori, iaitu (i) Najis Mughalazzah (najis berat) seperti anjing dan babi, (ii) Najis Mutawassitah (najis pertengahan) dan (iii) Najis Mukhaffafah (najis ringan).  Contoh najis jenis Mukhaffafah ialah seperti air kencing bayi lelaki yang berumur kurang dari 2 tahun, belum makan makanan selain daripada susu ibunya. Untuk membersihkan benda yang terkena najis kategori ini, memadai dengan memercikkan air atas benda yang terkenanya. Walau bagaimanapun bagi air kencing bayi perempuan pula, walaupun belum makan selain dari susu ibunya, hendaklah dibasuh sampai mengalir air di atas benda yang terkena najis itu dan hilang zat serta sifat-sifatnya sebagaimana menyuci air kencing orang dewasa. Ini kerana air kencing anak perempuan tergolong dalam golongan najis mutawassitah (najis pertengahan).

7.  Subhanallah.  Allah SWT tidak mengutuskan Rasulullah SAW sebagai seorang saintis. Oleh itu baginda tidak menjelaskan sebabnya dari sudut sains. Rasulullah hanya menyampaikan apa yang diwahyukan kepadanya oleh Allah SWT. Betapa benarnya sabda Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun lalu.  Sesungguhnya tiadalah berbicara sesuatu oleh Rasulullah SAW melainkan ianya diberikan ilham atau hidayah oleh Allah SWT. Hanya Allah SWT yang maha mengetahui segala-galanya.

“Hiduplah sesuka hatimu, sesungguhnya kamu pasti mati. Cintai siapa saja yang kamu senangi, sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya. Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, sesungguhnya kamu akan memperolehi balasannya. Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu sentiasa akan timbul kesenangan” – Mutiara Kata Ibnu Abbas

Sebahagian kandungan dari sumber islampos.com

No comments:

Post a Comment