Wednesday, 15 April 2015

TULANG SULBI : ILMU OSTEOLOGI DALAM AL-QURAN ?


1.    Dalam Surah Yaasin (36:78), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

“Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

(36:79)


Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya).”

2.   Dalam hal ini kita lihat pula apakah sabda Rasulullah SAW:

2.1.   "Tiada bahagian dari tubuh manusia kecuali akan hancur (dimakan tanah) kecuali satu tulang, iaitu tulang sulbi, darinya manusia dibangkitkan kembali pada hari kiamat. "(Hadis Riwayat Bukhari).

2.2.   "Seluruh bahagian tubuh anak Adam akan (hancur) dimakan tanah kecuali tulang sulbi, darinya tubuh diciptakan dan dengannya dipasang kembali." (Hadis Riwayat Muslim)

2.3. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Ada satu tulang pada anak Adam yang tidak dimakan tanah.’ Mereka bertanya, ‘Apa itu, ya Rasulullah?’ Rasulullah menjawab, ‘Tulang sulbi.’ (Riwayat  Bukhari, Nasa’i, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Malik).
DR. HANS SPEMANN
3. Berabad lamanya sabda Rasulullah di atas tidak dapat dijelaskan logiknya. Setelah berjalannya masa yang begitu lama, beberapa kajian ilmiah telah mampu menjelaskan kebenaran sabda tersebut. Pengkaji dalam bidang ilmu Osteologi ialah Dr. Hans Spemann. Beliau dilahirkan di Stuttgart, Jerman pada 27.6.1869 dan mati pada 9.9.1941 di Freiburg im Breisgau, Jerman ketika berusia 72 tahun. Dr. Hans Spemann mendapat pendidikan di Universiti Heidelberg dan München sebelum memperolehi ijazah kedoktoran dalam bidang botani, zoologi dan fizik dari Universiti Würzburg pada tahun 1895. Beliau seorang ahli kaji janin (embryologist) Jerman yang menjadi salah seorang pelopor dalam bidang kaji janin moden.  Beliau pernah di anugerahkan Nobel Prize dalam tahun 1935 kerana kajian dalam ilmu osteologi. 
 

4.   Kajiannya dalam bidang ilmu Osteologi (kaji tulang) telah membuktikan bahawa asal usul kehidupan adalah dari tulang sulbi(ekor). Darinyalah makhluk hidup bermula. Dalam kajiannya dia memotong tulang sulbi dari sejumlah haiwan, lalu memasukkan ke dalam embrio. Pada ketika sperma memasuki ovum (sel telur), pembentukan janin bermula. Ketika ovum telah membentuk zigot ia terbelah menjadi dua sel dan terus berkembang sehingga terbentuklah cakera embryonic yang mempunyai dua lapisan.

5. Lapisan pertama ialah  external epiblast yang terdiri dari cytotrophoblasts.  Ia berfungsi membekalkan makanan kepada embrio yang melekat pada dinding uterus dan menyalurkan nutrisi dari darah dan cecair kelenjar pada dinding uterus. Lapisan kedua pula ialah  internal hypoblast yang telah ada sejak pembentukan janin pertama kalinya. Pada hari ke-15, lapisan sederhana muncul pada bahagian belakang embrio yang disebut primitive node (gumpalan sederhana). Dari sinilah beberapa peringkat seperti ectoderm, mesoderm, dan endoderm terbentuk.

5.1.   Ectoderm - Membentuk kulit dan sistem saraf pusat.

5.2. Mesoderm - Membentuk otot halus sistem penghadaman (pencernaan), otot skeletal (kerangka), sistem peredaran, jantung, tulang pada bahagian kelamin dan sistem urine, rangkaian subcutaneous, sistem limpa, limpa dan kulit luar.

5.3. Endoderm - Membentuk lapisan pada  sistem pernafasan, organ-orang yang berkaitan dengan sistem digestive (seperti hati dan pankreas), kelenjar tiroid dan saluran pendengaran. Gumpalan sederhana inilah yang mereka sebut sebagai tulang sulbi.

TULANG SULBI (COCCYX)
6. Dalam kajiannya Hans telah menghancurkan tulang sulbi. Dia menumbuk dan merebusnya dengan suhu yang tinggi dan dalam masa yang sangat lama. Setelah menjadi serpihan halus, dia cuba menggunakan tulang itu pada janin lain yang masih dalam tahap permulaan embrio. Hasilnya, tulang ekor itu tetap tumbuh dan membentuk janin sekunder walaupun ia telah ditumbuk dan dibakar.

7.   Dr. Othman Al-Djilani dan Syeikh Abdul Majid juga melakukan kajian yang sama. Pada bulan Ramadhan 1423 Hijrah mereka berdua memanggang tulang sulbi dengan suhu tinggi selama 10 minit. Tulang berubah menjadi hitam pekat. Kemudian kedua-duanya membawa tulang itu ke Makmal Al-Olaki, Universiti Sana'a Yaman untuk dianalisis. Setelah dianalisis oleh Dr. Al-Olaki iaitu profesor dalam bidang osteology dan pathologi, beliau telah mendapati bahawa sel-sel pada tulang sulbi tidak terjejas. Bahkan sel-sel itu dapat bertahan walau dilakukan pembakaran lebih lama.

8.  Encik Jamil Zaini, Pelatih Kubik Asia Tengara di Jakarta melaporkan dalam Majlis Berbuka Puasa di Al-Azhar, Solo Baru, Jawa. Katanya berdasarkan kajian mutakhir yang bertajuk “Inspiring Day: Inspiring The Spirit of Life”, dikatakan  tulang sulbi/ekor ini merakam semua perbuatan anak Adam dari sejak lahir hingga meninggal dunia. Tulang ini merakam semua perbuatan baik-buruk mereka. Dan perbuatan mereka ini akan mempengaruhi keadaan tulang sulbinya. Putih bersih atau hitam kotor. Semakin banyak tenaga positif atau kebaikan seseorang maka semakin bersih tulang sulbinya.  Sebaliknya semakin banyak tenaga negatif atau keburukan seseorang maka semakin hitamlah tulang sulbinya. Wallahuaklam.

9. Walau apapun, kesimpulan yang dapat dibuat ialah apa jua yang telah difirmankan Allah SWT dalam Al-Quran dan sabda nabiNya lebih 1,400 tahun lalu adalah benar.  Tiada yang benar melainkan benar belaka. Sesungguhnya Islam itulah agama yang maha benar.
“Kebaikan itu ada pada lima perkara iaitu mampu mengawal diri, menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain, menggunakan rezeki yang halal, berserah diri kepada Allah dan menyakini segala kekuasan Allah”.- Mutiara Kata Imam Syafie Rahimahullah

3 comments: